GUA MUSANG - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah seliaan Dun Paloh menerima RM61,000 secara keseluruhan bagi sumbangan kecemerlangan pelajar.

Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, berkata, sumbangan ini diberikan secara berkala setiap tahun demi memastikan setiap aktiviti PIBG berjalan lancar.

“Di bawah Dun Paloh, ada 12 sekolah rendah, tiga sekolah menengah dan sebuah sekolah menengah sains. Sumbangan ini diberikan sama rata kepada semua sekolah di bawah Dun ini.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk semua aktiviti melibatkan pelajar dan pendidikan,” katanya selepas menyerahkan cek sumbangan di Bilik Gerakan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, Mara Kasmedee Abdul Rahman, Pengetua SMK Bandar Chiku, Nik Suhaimi Nik Mat dan wakil-wakil PIBG di setiap sekolah.

Tambah Nozula yang juga Yang Dipertua (YDP) SMK Bandar Chiku dan SMK Sains Gua Musang, setiap sekolah rendah menerima RM3,000, sekolah menengah, RM5,000 dan sekolah sains, RM10,000.