BENTONG - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Shafie menganjurkan acara istimewa untuk menghargai jasa guru atas dedikasi dan sumbangan tidak ternilai mereka terhadap pendidikan generasi muda.

Yang Dipertua PIBG SK Kampung Shafie, Norman Sudirman berkata, sambutan ini merupakan julung kali dianjurkan PIBG sendiri.

Menurutnya, pihak PIBG bersama guru telah memilih tema pakaian kembali ke sekolah untuk dipakai ibu bapa sementara guru-guru memilih tema retro pada tahun ini.

“Kehebatan yang mahu kami tonjolkan kepada murid dan guru adalah peranan dan tanggungjawab yang dimainkan kami dalam memastikan warga sekolah terus cemerlang dalam pelbagai aspek.

“Saya yakin tema yang ditonjolkan ini mengimbas kenangan lama ibu bapa dan guru,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Antara acara dianjurkan seperti acara sukaneka, upacara memotong kek sambutan Hari Guru disumbangkan Menteri Besar Pahang, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan perlawanan bola sepak antara ibu bapa serta guru.

Ketua Pengawas, Muhamad Danish Iman Norman, 12, berkata dia begitu teruja dan tidak percaya apabila melihat ibu bapa datang dengan berpakaian berpakaian sekolah dan baginya ini merupakan satu penghargaan yang besar buat guru di sini.

“Saya tengok cikgu begitu seronok bila ibu bapa datang ke sekolah ini di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dan guru,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar, Mohamad Nassir Idris berkata, peranan PIBG, guru dan ibu bapa amat penting untuk memberikan semangat terhadap murid.

Menurutnya, beliau bersyukur, penglibatan PIBG dan ibu bapa di sekolah ini amat menggalakkan tanpa mengira bangsa dan agama.