SEREMBAN - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) haruslah memainkan peranan yang penting dalam membantu pihak sekolah mencapai kecemerlangan akademik dan bukan akademik, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata PIBG merupakan jambatan penghubung antara ibu bapa dan pihak sekolah, di samping membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah yang timbul seperti masalah disiplin dan sebagainya.

"PIBG kena main peranan tetapi jangan sampai mencampuri atau mengganggu pentadbiran sekolah kerana biarlah itu menjadi urusan sekolah, cuma kita bagi bantuan kepada pihak sekolah jika mereka memerlukan bantuan dari kita dan mana-mana yang boleh kita bantu.

Paling penting sekali adalah masalah displin anak-anak jangan biarkan hanya guru yang terkial-kial dan berusaha untuk menyelesaikan masalah," katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Berkelompok Sekolah-Sekolah Tamil DUN Rantau di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri Rusni Ab Jalil.

Mohamad turut menasihati ibu bapa untuk sentiasa peka dengan pelajaran anak-anak mereka.  

"Pada masa kini, pelajaran dan ilmu sangat penting kerana ia dapat menjamin masa depan dan merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan.

Oleh itu, ibu bapa mesti memastikan anak-anak kita di sekolah belajar dan mementingkan pelajaran di rumah di samping tidak melarang anak-anak untuk aktif bersukan," katanya.

Beliau berkata ibu bapa haruslah pandai mengimbangkan semua aspek terutamanya pelajaran dan sukan  kerana kedua-duanya penting supaya anak-anak akan menjadi orang yang  berilmu dan sihat.

"Aktiviti luaran seperti sukan akan menjadikan anak-anak lebih sihat malah beri sokongan kepada mereka jika mereka meminati sukan tersebut kerana jika mereka berjaya dalam bidang ini, ianya boleh juga menjadi satu kerjaya," katanya. - Bernama