Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Yazid Othman meminta kerajaan membantu untuk meningkatkan kemudahan asas di Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam yang dibuka pada 1988.

Menurut beliau, sekolah itu memerlukan sebuah asrama lelaki yang boleh menampung pelajarnya.

Banyak permohonan pelajar lelaki untuk memasuki sekolah itu namun terpaksa ditolak kerana ketiadaan asrama.

Kini sekolah tersebut mempunyai mempunyai 199 pelajar terdiri daripada 98 perempuan dan 101 lelaki.

Yazid menjelaskan, banyak kursus yang sesuai untuk pelajar lelaki seperti kursus jurubina, juru kimpal, motosikal, perabot, pendingin hawa, dan elektrik.

Namun bilangan pelajar yang mengikutinya kecil iaitu hanya tiga atau empat orang sahaja disebabkan tiada kemudahan asrama.

Katanya lagi, jika terdapat kemudahan asrama, seramai 10 pelajar boleh memasuki kursus tersebut.

Ia secara langsung membantu rakyat yang memerlukan.

Pengetua sekolah, Sazali Mohd Karli berkata, sekolah itu kini mempunyai dua blok pelajar perempuan dan satu blok pelajar lelaki.

Pada mulanya terdapat dua blok pelajar lelaki. Bagaimanapun disebabkan permintaan yang tinggi daripada pelajar perempuan menyebabkan dua blok terpaksa diperuntukkan untuk mereka.

Kini jumlah lelaki dan perempuan agak seimbang.


Menghadiri Mesyuarat Agung PIBG di SM Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam.

Kemampuan luar biasa

“Kita perlukan perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk sekolah vokasional ini ditubuhkan 28 tahun lalu yang keperluannya tidak terpenuh.

“Sekolah ini mempunyai padang. Alangkah baiknya kita buat mini stadium sebab ada peranan pelajar sekolah ini yang mengharumkan nama Malaysia dalam Sukan Paralimpik," katanya.

Kata beliau, banyak pelajar sekolah tersebut yang mengharumkan nama negara.

"Kalau boleh kita namakan Mini Stadium Datuk Seri Najib. Ini melambangkan pemimpin kita cakna pada pelajar-pelajar pendidikan khas," kata Yazid.

Difahamkan Najib telah merasmikan sekolah ini pada 1996. Yazid berharap pada masa akan datang Najib dapat hadir untuk merasmikan asrama lelaki dan stadium.

Yazid berpendapat banyak kemudahan sekolah yang perlu dinaikkan taraf khususnya kelas dan bengkel. Ini sebab sekolah ingin melahirkan pelajar berkemahiran, yang boleh memenuhi keperluan negara dalam semua bidang.

Walaupun golongan pelajar sekolah ini ada kekurangan tetapi mereka punyai kemampuan yang luar biasa.

Tambah beliau, sebelum ini anak perempuannya merupakan murid yang pasif.

"Saya tukarkan dia dari sekolah apabila dia tidak berasa seronok, termasuk sekolah agama dan sekolah pondok. Namun, bila masuk ke sekolah ini, anak saya sangat seronok.

"Dia bercerita dengan bangga pada keluarga apa yang dibuat di sekolah ini," katanya.

Yazid

Peluang cipta nama

Menurut Yazid, ini bermakna sukatan pelajaran, pengetua dan guru yang mengajar di sini berjaya menyentuh hati pelajar di sini. Suasana persekitaran di sini dapat melahirkan keseronokan pada diri pelajar dan menjadikan mereka begitu teruja.

“Bila balik bercuti, anak saya akan bertanya bila nak balik semula ke sekolah. Kemudian dia sudah bina impian untuk buka salon. Kalau anak saya begitu, anak-anak orang lain pun begitu.

"Tidak sia-sia kerajaan memberi bantuan kepada anak-anak ini. Membina jiwa kanak-kanak yang sebelum ini layu dengan menyemarakkan ia semula,” ujar Yazid.

Yazid menjelaskan cadangan menaikkan taraf sekolah ini adalah untuk produk negara di peringkat antarabangsa.

"Kita dalam bidang lain payah untuk berlawan dengan pihak lain dalam lumba lari kerana kita tak akan jadi juara lari di Sukan Olimpik atau mana-mana sukan antarabangsa.

"Negara berpeluang mencipta nama di peringkat antarabangsa melalui Paralimpik. Atlet Paralimpik sering mendapat peluang ini. Tidak salah jika kerajaan gunakan peluang ini," katanya.

Beliau berharap pendidikan di sekolah ini dipertingkatkan hingga ke peringkat diploma. Malah kerajaan membina kolej yang boleh mengeluarkan ijazah.

“Sekarang pelajar ini cuma 199 orang sedangkan di luar sana pelajar yang perlukan kemahiran beribu orang. Dalam masa terdekat ini kita naikkan taraf sehingga mampu menampung 500 hingga 1,000 pelajar.

"Kita nak jadi kelas pertama dan jadi glokal seperti kata Najib,” ujar beliau.

Sazali

Suasana pada majlis pendaftaran dan minggu suai kenal tingkatan 4.