KUALA MEDANG - Majlis Graduasi dan Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Medang yang diadakan kelmarin mampu menyuntik semangat kepada murid tahun enam untuk lebih cemerlang dalam pelajaran pada masa akan datang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Kuala Medang, Datuk Seri Dr Omar Othman berkata, majlis itu diadakan bagi memberi penghargaan atas usaha keras murid-murid sepanjang tempoh enam tahun menimba ilmu di sekolah tersebut.

“Berbekalkan sijil graduasi ini, saya yakin murid mampu jadi insan cemerlang sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk lahirkan modal insan kelas pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi dan Apresiasi Kecemerlangan SK Kuala Medang 2016 di dewan sekolah tersebut, di sini kelmarin.

Hadir sama wakil Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, Ahmad Daniar Ismail dan Guru Besar SK Kuala Medang, Mohd Shawaluddin Abu.