KUALA TERENGGANU – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Losong berjaya mengumpul dana kira-kira RM15,000 setelah sekolah berkenaan menjadi sebutan apabila berada pada tangga ketiga terbaik negeri pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Yang Dipertua PIBG, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sumbangan pelbagai pihak itu akan digunakan untuk program kecemerlangan bagi pelajar tahun empat hingga enam pada tahun hadapan.

“Alhamdulillah apabila sekolah kita (SK Bukit Losong) menjadi antara yang terbaik di Terengganu, ramai yang sudi menghulurkan bantuan  untuk terus memberi kecemerlangan pada masa akan datang.

“Hasilnya sehingga tabung PIBG peroleh RM15,000 dan akan gunakan duit ini sebaik mungkin demi kecemerlangan murid sekolah ini,” katanya pada Hari Anugerah Kecemerlangan sekolah berkenaan.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zuber Embong; Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jailani Sulong dan Guru Besar SK Bukit Losong, Abd Razak Embong.

Menurut Syed Anuar, lebih banyak perancangan dapat dilakukan untuk murid yang bakal menghadapi UPSR pada 2017 nanti.

Syed Anuar berkata, dia mahu mencapai sifar E untuk UPSR 2017  walaupun dianggap mustahil di kalangan ibu bapa dan guru.

Sementara itu, lima pelajar peroleh keputusan 6A dalam UPSR baru-baru ini menerima sijil dan wang tunai berjumlah RM400 setiap seorang.