"Ada beberapa isu yang sering dibangkitkan oleh ibu bapa ketika mesyuarat Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rimau, Seksyen 32, Shah Alam. Isu yang paling hangat adalah yang berkaitan dengan keselamatan murid-murid.

"Sebelum ini, semua pihak sudah tahu bahawa lokasi murid-murid  menunggu ibu bapa ketika waktu tamat persekolahan adalah di sekitar sekolah berkenaan. Namun, masih ada sesetengah ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menunggu di dalam sekolah kerana bimbang keselamatan murid-murid berkenaan.

"Sebagai wakil dari PIBG, saya merasakan yang kami semua bertanggungjawab untuk menerangkan  perkara ini kepada ibu bapa. Kita sebagai orang tengah antara sekolah dan ibu bapa perlu menjelaskan dengan sebaik mungkin agar semua faham.

"Walaupun berlaku sesi soal jawab, namun ia dilihat sebagai perkara biasa  bila berlangsungnya mesyuarat. Bila dijelaskan dengan terperinci, akhirnya semua memahami. Saya akui, ibu bapa mana yang tidak bimbang akan keselamatan anak-anak, namun dek kerana peraturan sekolah, kita perlu akur.

Lagipun, beberapa anggota Rela sudah ditempatkan di sekitar sekolah dalam memastikan anak-anak kita berada dalam keadaan selamat sewaktu menunggu keluarga usai tamat belajar," kata YDP PIBG SK Bukit Rimau, Mohamad Khusyairi Abdul Aziz, 42.

Menurut beliau, PIBG SK Bukit Rimau bukanlah hanya menyelesaikan isu berbangkit sahaja tetapi turut mengalualukan idea-idea bernas daripada ibu bapa di luar sana.

"Kita menerima apa jua idea kreatif dan maklumat yang berkaitan untuk kita sama-sama menjana kecemerlangan sekolah dan membentuk insan luar biasa dalam kalangan anak-anak murid di sekolah ini," jelasnya.

Cari dana

Sudah 12 tahun usia penubuhan PIBG SK Bukit Rimau ini. Sebagai YDP PIBG yang ke-3 bagi sesi 2015/2016, Mohamad Khusyairi mengakui yang perjuangannya masih lagi panjang dan perlukan sokongan dan kerjasama semua pihak.

"Bukan mudah galas jawatan tertinggi ini. Tetapi, saya cuba buat yang terbaik demi kebaikan semua pihak.

"Sekarang ini, fokus kami di PIBG adalah menaik taraf dataran berbumbung sekolah. Sebelum ini, datarannya berkonsep terbuka. Jadi, kesian pada guru dan murid-murid perlu berdepan dengan panas jika berlangsung perhimpunan atau program-program lain.

"Peruntukan sebanyak RM200,000 diperlukan untuk menyiapkannya. Setakat ini, kita sudah ada dana RM50,000 hasil kutipan daripada program Basikalton.

Untuk mencukupkan jumlah tersebut, kita semua perlu kerja keras lagi. Dalam perancangan, mungkin kami akan mengadakan majlis makan malam amal untuk menambah kutipan dana dan mencari sumbangan daripada syarikat-syarikat tertentu dan NGO.

Insya-ALLAH, doakan usaha murni ini berjaya kerana apa yang kita lakukan adalah untuk kemudahan murid-murid, guru dan ibu bapa serta pihak-pihak berkaitan," katanya dengan menambah PIBG bukan sahaja membantu sekolah meningkatkan prestasi murid-murid, tetapi turut membantu dari segi pembangunan dan prasarana sekolah serta aktif dalam sebarang aktiviti terutama yang membabitkan pencarian dana.

Selain gigih mencari dana, PIBG SK Bukit Rimau aktif melibatkan diri dalam program anjuran sekolah seperti sukan, motivasi, kem kepimpinan dan lain-lain.

Mengenai harapan terhadap PIBG,  Mohamad Khusyairi amat berharap semua warga PIBG SK Bukit Rimau dapat membantu pihak sekolah untuk menaikkan taraf pendidikan muridmurid daripada segi akademik, jati diri
dan sukan.

Juga pada guru, dapat curahkan ilmu dan mendidik murid-murid menjadi insan yang berakhlak dan berbudi pekerti mulia.