KAMPUNG LIMAU PURUT - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut memerlukan RM30,000 bagi merealisasikan impian warga sekolah untuk membina sebuah surau baharu.

Pengerusinya, Mohamad Fuad Ahmad, 53, berkata, sebelum ini pihaknya melancarkan kutipan dana bagi menampung kos pembinaan surau sekolah itu sebanyak RM60,000 dan berjaya mengutip separuh daripada jumlah berkenaan.

Menurutnya, jumlah kutipan dana terbabit masih tidak mencukupi untuk pembinaan surau sekolah dan pelbagai fasiliti termasuk ruang solat, tempat mengambil wuduk, stor dan kolah besar.

“Sebelum ini pendidik dan murid menggunakan sebuah kuarters guru tidak berpenghuni yang terletak berhampiran sekolah untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

“SK Limau Purut dibina sejak 1952 dan pengasasnya ialah bekas ketua kampung kedua, Jaafar Talib. Sekolah ini melahirkan ramai insan berjaya termasuk bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), Datuk Abdul Manan Endol dan bekas Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Yusof Jaafar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program gotong-royong membina surau di SK Limau Purut, di sini kelmarin.

Mohamad Fuad berkata, sudah tiba masanya sekolah itu memiliki surau baharu bagi menampung 85 murid termasuk 40 Orang Asli beragama Islam dan 13 guru.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Limau Purut, Mohamad Dewan Nordin berkata, tapak yang sesuai untuk membina surau terbabit telah dikenal pasti dan usaha membina rumah ibadah terbabit akan dilakukan secara bergotong-royong bersama penduduk kampung bagi menjimatkan kos.

Menurutnya, pembinaan surau baharu itu penting bagi menyediakan kemudahan ibadah yang selesa buat barisan guru dan murid SK Limau Purut.

“Selain itu, pembinaan surau terbabit diharap dapat membentuk sahsiah murid dan menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan dengan lebih teratur,” katanya.