JENGKA - Sempena 10 Muharam, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), kakitangan dan murid-murid Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 11 tidak ketinggalan menyediakan lima kawah bubur asyura, semalam.

Timbalan Yang Dipertua PIBG, Zuhaizan Zainal Abidin berkata, bubur asyura dimasak dan diagihkan kepada murid-murid tahun enam, guru dan kakitangan sekolah.

“Program ini juga diadakan sempena majlis sukan sekolah ini. Setiap rumah sukan memasak satu kawah bubur asyura. Ia sebagai wadah mengukuhkan silaturahim antara kakitangan dan guru-guru sekolah serta murid.

“Pada sebelah pagi, kaum ibu menyertai program senamrobik yang diadakan sempena sukan tahunan sekolah. Selepas acara tersebut, mereka bersama-sama menyediakan bubur asyura” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 11, di sini semalam.

Bubur asyura yang disediakan, disajikan dan diagihkan kepada warga sekolah dan murid-murid.

Majlis yang berlangsung pada jam 8 pagi itu berakhir pada jam 12 tengah hari.

Sementara itu, Guru Besar, Azahar Abu Samah berkata, murid-murid turut menjalani latihan kebakaran dan kemalangan di sekolah ketika demonstrasi bersama anggota bomba dan penyelamat.

“Dalam demonstrasi tersebut murid-murid didedahkan dengan langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku kebakaran.

“Tumpuan diberikan kepada murid tahun enam kerana mereka sudah tamat peperiksaan dan tidak mengganggu jadual pembelajaran murid-murid lain,” katanya.