KANGAR - Sesuai dengan dasar Kementerian Pendidikan yang memperkenalkan Sarana, sebagai wadah meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam membantu pihak sekolah untuk melonjakkan lagi pencapaian dan kecemerlangan adalah menjadi tanggungjawab Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengorak langkah melaksanakan pelbagai program yang dapat menyumbang kepada matlamat berkenaan.

Kebanyakan kita menganggap penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah bukan satu keperluan, malah ada yang menyatakan guru dan kakitangan sekolah sudah mampu untuk mengurus serta menjayakan usaha mendidik murid.
 
Pelbagai alasan dicipta untuk menjadikan 'passport' tidak terlibat dalam apa jua aktiviti sekolah atau PIBG.
 
Bagi menangani cabaran ini, PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, di sini mengambil pendekatan yang amat berbeza.

Di SK Sena, 'dasar pintu terbuka' yang menjadi amalan sekolah amat disenangi ibu bapa dan waris murid. Sebarang cadangan, pandangan serta teguran boleh sahaja diajukan melalui  Facebook, WhatApps atau bersemuka dengan kepimpinan PIBG mahupun pentadbir sekolah.
 
Yang DiPertua (YDP) PIBG SK Sena, Ahmad Syukri Ali berkata, pihaknya sentiasa terima apa sahaja sumbangan, tidak semestinya kewangan, sebarang bentuk kerjasama dengan agensi boleh dibuat oleh ibu bapa atau waris dalam membantu sekolah meningkatkan prestasi.
 
"Kami tidak seperti PIBG di sekolah lain. Kami pelengkap dan unit sokongan kepada semua aktiviti sekolah sama ada akademik atau bukan akademik," katanya.

Jelas Ahmad Syukri lagi, PIBG tidak ada program yang besar atau program tahunan wajib, namun fokus PIBG dan sekolah adalah sama-sama merancang program kemerlangan dalam UPSR dan akademik.

Selain turut menumpukan program bangunkan sahsiah diri murid.

SK Sena ditubuhkan 24 tahun yang lalu telah mendapat pengiktirafan sebagai 'Sekolah Kluster Kecemerlangan' Fasa kedua pada 2008.

Pada 2015, SK Sena sekali lagi diberi pengiktirafan sebagai sekolah 'Band Satu (1), Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)' yang melayakkan SK Sena memohon taraf Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini.
 
Menurut beliau, sekolah yang mempunyai hampir 800 murid ini, memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) bagi pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 adalah 1.79 dan mensasarkan GPS 2016 pada 1.65.

YDP PIBG SK Sena, Ahmad Syukri Ali


"Ibu bapa dan jawatankuasa PIBG turut digalakkan hadir ke sekolah bagi sama-sama membantu proses pembelajaran dan pengajaran.. sekolah juga memberi ruang kepada ibu bapa masuk ke kelas untuk memberi kata-kata kecemerlangan atau motivasi kepada murid.
 
"Kaedah ini dapat mendekatkan PIBG dengan murid dan boleh saling mengenali serta bertegur sapa tidak kira di sekolah atau di luar," katanya.
 
Disamping itu, ada juga ibu bapa secara sukarela membimbing murid ini dengan kemahiran penerbitan audio visual menggunakan peralatan sebenar penyiaran serta kemahiran ICT.

Malah pada 2013 Kelab Media Sena berjaya menerima Anugerah Inovasi Kokurikulum: Kelab dan Persatuan Cemerlang dan Top 5 Anugerah Inovasi Sektor Awam 2013 melalui Studio Multimedia dalam Pendidikan: TV Sena.

Antara anugerah yang berjaya diperolehi SK Sena



Penyertaan itu merupakan satu-satunya penyertaan sekolah rendah yang diterima.
 
"Sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dan bidang kebitaraan ICT, Matematik dan sukan lompat tali, sokongan ibu bapa serta jalinan bersama agensi luar amat diperlukan bagi memperkasa kebitaraan berkenaan.

"Jalinan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMap) telah membawa murid SK Sena keperingkat antarabangsa melalui produk inovasi," katanya.
 
Kata Ahmad Syukri, sejak 2013 sehingga kini hampir dua puluh anugerah dan pengiktirafan dari badan antarabangsa diterima oleh murid SK Sena dalam bidang inovasi.

Antara yang tertinggi Anugerah World Invention Intellectual Property Association untuk tiga tahun berturut-turut.

Team Inovasi yang menyertai salah satu pertandingan dalam negara, aktiviti inovasi sentiasa mendapat sokongan dari PIBG SK Sena.


 

Ahli jawatankuasa PIBG, Asry Shafii (baju putih) pembimbing media sena sedang memberi taklimat kepada team media sena sebelum memulakan rakaman.


Menerusi kemampuan ahli PIBG, produk murid dibangunkan dengan penambahbaikan dan dijadikan prototaip bersama dengan UniMap dalam aspek teknikal. Malah ada kalangan ibu bapa yang terdiri daripada pensyarah UniMap membantu sekolah dalam aspek yang lain.
 
“Bekerja disebalik tabir, itulah yang kami lakukan. Kita tidak mengharapkan apa-apa, yang penting peningkatan kualiti pendidikan serta mengembangkan potensi murid seboleh yang mungkin untuk memenuhi falsafah pendidikan negara.
 
“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran besar, cukup sekadar apa yang diusahakan ini mencapai standard atau kualiti yang ditetapkan oleh kementerian iaitu PIBG Cemerlang. Ini yang kita cuba pakai, bukannya pengiktirafan tetapi memenuhi piawaian itu lebih penting,"katanya.

Naib YDP PIBG, Syukri Mat Hasan (kanan) menyampaikan hadiah penghargaan kepada guru SK Sena sempena majlis sambutan hari guru 2016.