TRIANG - Dataran perhimpunan dan laluan masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Buntar di sini, dibaiki secara gotong-royong dengan kerjasama warga sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Yang Dipertua PIBGnya, Zuhairi Yunus berkata, pihaknya berjaya mengumpulkan dana dan kemudahan itu dibaiki mengikut  jumlah kutipan yang diterima.

“Kalau ikutkan dari jalan masuk menghala ke dataran perhimpunan, ia adalah jalan berturap tar tapi kami tidak dapat menyediakan kelengkapan itu.

“Sebaliknya, kami letak simen pada kawasan yang rosak teruk dan berlubang  supaya ia tidak menjejaskan keselamatan murid, guru atau ibu bapa yang menggunakan jalan itu,” katanya.

Hadir sama pada program itu ialah guru besar, Azaha Yunus yang tidak ketinggalan membantu.

Menurut Zuhairi, pihaknya akan cuba sedaya upaya mengumpul dana bagi membaiki setiap kerosakan pada kemudahan di sekolah ini demi keselesaan anak-anak yang belajar di sini.

Katanya, pihaknya sentiasa mengalualukan mereka yang mahu menderma untuk pembangunan di sekolah ini pada bilabila masa sahaja.