KUALA KRAI - Walaupun terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kuala Krai, Sekolah Kebangsaan (SK) Temalir tidak berhadapan masalah kerana ibu bapa, guru dan komuniti
setempat saling membantu demi kecemerlangan murid.

Yang Dipertua PIBG SK Temalir, Mat Nawi Yaakob berkata, atas kerjasama kedua-dua pihak, jalan sempit berhampiran sekolah yang tidak dapat dilalui dua kenderaan berselisih dinaik taraf dan dilebarkan.

Menurutnya, laluan utama penduduk untuk ke Kuala Krai, Mengkebang, dan Sungai Pas itu yang terletak berhampiran sekolah dilihat mampu mengundang bahaya kepada pengguna terutama murid sekolah berkenaan.

“Jadi penduduk bergotong-royong melebarkan jalan dengan jarak kira-kira 500 meter yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Kegiatan gotong-royong ini kebiasaannya dilakukan pada setiap Selasa,” katanya.

Mat Nawi berkata, bagi membolehkan jalan tersebut dibaiki, ada penduduk secara sukarela menyumbang simen.

Namun katanya, jalan itu tidak dapat disiapkan sehingga kini memandangkan kekurangan dana.

“Jadi, kepada mana-mana pihak yang berhasrat membantu, kami alu-alukan bantuan dan sumbangan semua pihak.

“Diharapkan apabila siap kelak, jalan ini selesa dan tidak lagi mengundang bahaya kepada pengguna, terutama murid kerana terletak berhampiran sekolah,” katanya.