JELI - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Melintang, dekat sini, mengalu-alukan sumbangan terutama daripada badan korporat untuk pembangunan dan kecemerlangan akademik sekolah itu.

Penasihat PIBG sekolah itu, Ashaari Omar berkata, sumbangan pelbagai pihak untuk dana PIBG diperlukan bagi memberikan keselesaan kepada warga sekolah seperti baik pulih surau sekolah.

"Hari ini kami amat berbesar hati menerima sumbangan alat pendingin hawa daripada syarikat A.Zhar Group MCIS bagi kegunaan PIBG sekolah ini dan tolong uar-uarkan kepada pihak korporat yang berminat menyumbang kepada kami,” katanya.

Ashaari yang juga Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Batu Melintang berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan tersebut yang disampaikan Eksekutif Pemasaran A.Zhar Group MCIS, Ahmad Naquidin Sulaiman.

Turut hadir, Pengerusi A.Zhar Group MCIS, Datuk Azhar Mohd Hussain dan Setiausaha PIBG SMK Batu Melintang, Norliza Samsuddin.

Setakat ini, sekolah itu mempunyai seramai 484 pelajar dan 48 guru.

Menurut Asaari, selain mengharapkan sumbangan luar, pihaknya turut menganjurkan aktiviti sendiri bagi mengutip dana seperti larian jogathon di Puncak Titiwangsa.

Katanya, aktiviti akademik turut dilaksanakan dengan kerjasama sekolah seperti seminar keibubapaan dan motivasi pelajar, seminar teknik menjawab peperiksaan serta solat hajat perdana.

“Sekolah kami juga menyertai ekspo perdana bersama jabatan pendidikan negeri, jabatan kerajaan dan swasta untuk memberi pengetahuan kerjaya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, sumbangan alat pendingin hawa bagi kegunaan PIBG sekolah itu sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat A.Zhar Group MCIS.

“Sumbangan ini diharap membantu PIBG menjadi jambatan muafakat antara guru, ibu bapa dan pelajar dalam usaha mencapai kecemerlangan sahsiah, akademik serta kokurikulum,” katanya.