Tiada jalan pintas untuk meraih kejayaan, hanya gandingan peranan setiap pihak dapat menjayakannya.

Dengan itu, penubuhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labis di bawah Akta Pendidikan 1961 bertujuan membantu membangunkan prasarana dan kecemerlangan sekolah dan pelajar telah memainkan peranan sebagai rakan kongsi kepada warga sekolah demi memastikan segala kemudahan asas atau tambahan dapat disediakan.

Hasilnya, sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dalam suasana yang kondusif, selesa dan tenang.

Untuk itu, pihak PIBG SMK Labis komited dalam memberi sumbangan kepada pihak sekolah agar segala dasar pendidikan kebangsaan dapat dicapai.

Ramly Nasir

Yang DiPertua PIBG, Ramly Nasir berkata perkara itu selaras dengan visi dan misi PIBG demi melahirkan pelajar yang berilmu, berketrampilan dan seimbang bersesuaian dengan moto sekolah iaitu Otak Cerdas dan Badan Sihat.

"Kami juga telah menerima pelbagai bentuk sumbangan demi kebajikan dan manfaat sekolah dan pelajar khususnya.

"Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin dan yatim.

"Dengan dana yang terkumpul daripada sumbangan setiap ahli PIBG juga, sumbangan dapat disalurkan untuk menjayakan aktiviti ataupun program di sekolah antaranya Program Kecemerlangan Bagi Calon PT3, SPM, dan STPM, Program Kem Motivasi Pelajar Tingkatan 3, 5 dan 6, Program Kepimpinan dan Sahsiah Pelajar, Program Derma Darah, Program Sarana Ibu Bapa dan lain-lain lagi," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong merasmikan Mesyuarat Agung PIBG kali ke-43.

Kata Ramly lagi, implikasi daripada itu, pelajar dapat diberi kesedaran, semangat dan teknik belajar berkesan serta mendapat pengalaman untuk menjadi individu berkeyakinan dan mempunyai ketrampilan sebagai pemimpin.

"Di bawah teraju pimpinan pengetua yang berwibawa, Tuan Haji Masrom Sathi, SMK Labis telah tersenarai sebagai antara enam buah sekolah memperoleh keputusan peperiksaan SPM 2015 terbaik di negeri Johor.

"Rentetan daripada itu, SMK Labis juga telah dicalonkan penerima Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Harian Gred Purata Sekolah Terbaik (Calon 0-100 orang) bagi Peperiksaan SPM 2015 dan Anugerah Sekolah Cemerlang Negeri Johor Kategori Sekolah Mencapai ETR dalam Peperiksaan STPM 2015 dengan mendapat kelulusan 100%.

Kecemerlangan yang diraih bukan hanya dalam bidang akademik, malah pelajar kamiturut menyerlah dalam bidang kokurikulum sepanjang tahun 2015 apabila meraih tempat ke-11 dalam acara Merentas Desa L15 di peringkat negeri Johor, Johan bagi acara bowling di Karnival Bowling Tingkatan 6, dan Naib Johan Pertandingan Bola Baling Daerah," ujarnya.

Banyak faktor yang mendorong kepada kejayaan tersebut, namun yang paling penting hasil jalinan kerjasama yang erat antara warga sekolah, pelajar, masyarakat, ibu bapa serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat.
   
Jelas Ramly, sesungguhnya PIBG dan pihak sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling bantu membantu antara satu sama lain.

"Dengan kerjasama yang padu daripada kedua-dua belah pihak ini, diharap kualiti pendidikan di SMK Labis dapat ditingkatkan lagi," katanya.

Kempen Derma Darah sempena Hari Guru pada Mei lalu anjuran bersama Persatuan Tingkatan Enam (Pertina).