KOLEJ ini telah ditubuhkan pada tahun 1972 dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional (SMVKL). SMVKL telah dirasmikan pada 16 Ogos 1976 oleh Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran.

Sejak tahun 1972 hingga 1993 sekolah ini diletakkan dalam kategori gred B. Mulai 1 Mac 1993 SMVKL telah dinaikkan taraf ke sekolah gred A dan pada tahun 1997 telah dengan rasminya menjadi Sekolah Menengah Teknik Setapak Kuala Lumpur (SMTSKL). Pada tahun 2007 SMTSKL telah ditukar kembali pada SMVSKL.

Pada tahun 2012 selaras dengan Transformasi Pendidikan SMVSKL telah ditukar menjadi Kolej Vokasional Setapak Kuala Lumpur. (KVSKL)

Bertempat di kawasan seluas (7.2 hektar) di Jalan Genting Kelang, Setapak, Kuala Lumpur, asal persekitaran KVSKL adalah bekas kawasan  lombong timah dan ladang getah. Tapak KVSKL pernah digunakan sebagai Kem Jungle Scont dan kem askar semasa darurat. Kini persekitaran KVSKL telah pesat membangun dengan terdapatnya KV(ERT), Sekolah Menengah Pendidikan Khas dan Bandar Baru Wangsa Maju.

Visi sekolah ini untuk menjadi pilihan utama pelajar sebagai institusi pendidikan dan latihan vokasional yang unggul menjelang 2015 dan demi mencapai visi itu, misinya bertekad menyediakan lulusan vokasional bertaraf Diploma dalam pelbagai bidang kemahiran sebagai modal insan yang kompeten, berdaya saing dan maju.

Bertepatan dengan slogan sekolah We Care For You, Ahli Jawatankuasa PIBG dengan diketuai Datuk Dr Ir Badaruddin Nordin selaku Yang Dipertua telah pun sepakat bersama ahlinya bagi menggerakkan PIBG sebagai tonggak penyokong agenda persekolahan.

Pelajar yang memperoleh SVM 3 kredit boleh menyambung pelajaran ke DVM atau program diploma IPTA/S.

 

Kejayaan dan sokongan PIBG

Antara program yang disertai PIBG adalah Hari Keluarga Peringkat Asrama yang dianjurkan oleh asrama kolej tersebut. Selaku badan induk yang sentiasa memberikan sokongan kepada program sekolah, PIBG turut serta meraikannya.

Datuk Dr Badaruddin Nordin sememangnya individu yang berpengalaman selama 13 tahun sebagai YDP. Lima tahun pengalaman di SM Teknik Shah Alam dan lapan tahun di Kolej Vokasional Setapak. Beliau digelar YDP PIBG yang prihatin dan bertanggungjawab meningkatkan dan memperkasakan pendidikan di Kolej Vokasional.

Aktiviti lain yang mendapat sokongan PIBG adalah Program Celik Al-Quran yang disertai 40 pelajar lelaki dan 40 pelajar perempuan yang tinggal di asrama. Program ini diadakan pada waktu malam sahaja.

“Pihak PIBG telah membantu dengan menghulurkan kewangan ketika sambutan bulan kemerdekaan negara. Sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan untuk menyemai perasaan cinta akan negara dan menyayangi pemimpin negara dalam kalangan warga KVSKL,” katanya.

Antara aktiviti yang melibatkan PIBG dan sekolah.

 

Program 5S

PIBG turut meraikan tenaga pengajar dan staf atas komitmen dan kegigihan mereka sehingga mencapai kejayaan gemilang.

“Sebanyak RM6,500 daripada akaun keceriaan PIBG telah dikeluarkan untuk membiayai perbelanjaan Program 5S. Peruntukan ini diagihkan kepada setiap bengkel dan bilik-bilik khas untuk membeli kelengkapan bagi aktiviti keceriaan.

Menurut beliau, pelajar yang memperoleh SVM yang bersamaan tiga kredit boleh menyambung pelajaran ke DVM atau boleh menyambung pelajaran ke peringkat diploma di APTA dan IPTS. Mereka juga boleh ke bidang kemahiran menerusi tahap yang lebih tinggi di Institusi

Kemahiran Awam dan Swasta.

"Sekiranya pelajar di sini meneruskan pengajian ke peringkat DVM dan setelah tamat belajar, pelajar-pelajad ini boleh menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah di IPTA/S. Syarat tiga kredit adalah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan mematuhi syarat Malaysia Qualitification Framework oleh MQA," katanya.

Sebagai Yang DiPertua, Badaruddin optimis memberikan sokongan dalam usaha memantapkan dan mengukuhkan pencapaian sekolah tersebut.