PASIR PUTEH - Kira-kira 200 penduduk sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tasek, dekat sini, bekerjasama menanam 100 pokok kelapa sawit bagi membantu dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Guru besar, Roslee Muhamad berkata, sebanyak 100 pokok kelapa sawit itu sebagai permulaan dan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Katanya, pokok yang ditanam di kawasan tepi sekolah itu bakal memberi sumber pendapatan kepada PIBG untuk membantu sekolah menjalankan aktiviti pendidikan untuk jangka masa panjang.

“Komitmen penduduk menjayakan projek penanaman kelapa sawit ini membuktikan kesedaran tinggi mereka untuk melihat murid sekolah ini cemerlang dalam akademik.

“Penduduk turut membantu membersihkan kawasan sekitar sekolah termasuk tanah lapang yang terletak di tepi bendang, yang mudah ditumbuhi pokok liar,” katanya.

Menurut Roslee, projek penanaman sawit dalam kawasan sekolah sebelum ini dilaksanakan dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Gaal.

“Kejayaan sekolah itu sebagai perangsang untuk kami melaksanakan projek sama kerana kami yakin pencapaian murid akan lebih baik sekiranya program pendidikan berjalan lancar.

“PIBG yang mempunyai dana yang baik, membantu sekolah mengadakan lebih banyak aktiviti kecemerlangan murid,” katanya.

Asyraf Wajdi bersama penduduk menanam pokok kelapa sawit.

Tambah Roslee, lebih bermakna apabila program gotong-royong PIBG SK Kampung Tasek, baru-baru ini, turut disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, kehadiran Asyraf Wajdi menyuntik semangat penduduk untuk terus menjadikan sekolah sebagai pusat komuniti yang aktif.

“Asyraf Wajdi turut menyampaikan sumbangan kepada PIBG sebanyak RM3,000 yang mungkin akan digunakan sebagai modal bagi menjana pendapatan ataupun untuk pembangunan pendidikan mengikut keperluan,” katanya.