PASIR PUTEH - Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Danan yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 menerima sumbangan RM1,000 sempena mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) sekolah berkenaan di sini, baru-baru ini.

Siti Junainah Nasri dan Nor Nadia Adi menerima  Anugerah Kecemerlangan itu selepas mereka berjaya meraih 5A dalam UPSR tahun lalu. 

Adun Selising, Zulkifle Ali berkata, sumbangan itu jelas membuktikan PIBG sentiasa memberikan dorongan kepada murid mencipta kejayaan memberangsangkan.

Katanya, beliau kagum dengan komitmen ibu bapa dan guru sehingga sekolah itu berjaya melahirkan murid  cemerlang. “Walaupun kebanyakan murid dari keluarga sederhana dan miskin, ia tidak menghalang mereka belajar
dengan tekun sehingga kejayaan yang diidamkan menjadi kenyataan.

 “Kejayaan dua murid ini secara tidak langsung memberi motivasi kepada calon-calon UPSR SK Danan pada tahun ini,” katanya selepas merasmikan mesyuarat tersebut. 

Sementara itu, guru besar, Wan Abdul Aziz Wan  Ahmad berkata, beliau berbangga serta berharap kejayaan lebih manis di kecapi pada tahun ini.

Katanya, ibu bapa perlu terus memainkan peranan memberi dorongan kepada anak masing-masing untuk mengikut calon UPSR terdahulu yang mendapat keputusan yang baik. 

“Kejayaan pasti akan lebih baik jika masyarakat dan ibu bapa memandang serius pembelajaran anak-anak dari awal lagi. Kita mesti menyokong program di sekolah termasuk kem kecemerlangan kerana ia memberi impak positif kepada pencapaian murid,” katanya.

Menurutnya, sumbangan ibu bapa kepada pendidikan anak-anak tidak semestinya dalam bentuk material, sebaliknya sokongan moral mereka  dianggap tidak ternilai.

“Mesyuarat agung PIBG menjadi seperti program forum di mana ibu bapa bebas menyuarakan pandangan dan guru menjawab apa sahaja pertanyaan bagi memuaskan hati ibu bapa,” katanya.