ASSAM JAWA – Sebanyak RM100,000 dana sumbangan orang ramai masih diperlukan lagi bagi menjayakan projek pembesaran dan menaiktarafkan Surau Sekolah Kebangsaan (SK) Assam Jawa.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Assam Jawa, Sarifudin Md Yusof berkata, surau sedia ada yang bersaiz kecil tidak mampu menampung kapasiti lebih kurang 700
murid.

Menurutnya, sekolah ini merupakan sekolah lama kerana dibina sejak 1892 lagi dan banyak bangunan uzur serta tiada kemudahan lengkap seperti dewan, bilik mesyuarat khas dan
penggunaan kelas yang terhad.

“Banyak aktiviti agama seperti solat dan kegiatan keagamaan tidak dapat diadakan di surau disebabkan ruang yang terhad memandangkan surau yang ada digunakan murid asrama
desa.

"Ini sebab penggunaan surau hampir 24jam kerana pengajaran al-Quran dan keagamaan lain turut diadakan di surau bagi murid yang berasrama,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam (lima, kiri) merasmikan pelancaran dana surau SK Assam Jawa.

Sarifudin berkata, keadaan fizikal dan sistem pendawaian surau yang terlalu lama memerlukan pembaikan jangka panjang demi keselamatan murid kerana PIBG mahu surau ini menjadi
pusat aktiviti sekolah.

“Sekarang ini, kos penukaran bumbung memerlukan belanja RM40,000 manakala ubah suai bahagian ruang terbuka hadapan surau memerlukan kos RM30,000 selain tempat berwuduk dan tandas lelaki serta perempuan menelan kos RM20,000.

Alhamdulillah setakat ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada memberi sumbangan RM40,000 dan sumbangan badan korporat serta individu namun masih memerlukan tambahan dana untuk kemudahan lengkap.

“Kalau boleh, kemudahan surau yang lengkap dapat dipenuhi seperti sistem audio, pembesar suara, amplifikasi elektronik (PA) sistem, projektor LCD, peralatan komputer.

"Kemudahan mimbar dan lain-lain juga penting. Sebab itu, saya mewakili PIBG sekolah memohon sumbangan orang ramai supaya dapat membantu menjayakan projek surau ini," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan atas nama PIBG SK Assam Jawa melalui akaun CIMB Bank 8600732644 atau menghubungi Ustaz Faiz Sukimin di talian 0192914746.

Setakat ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada memberi sumbangan RM40,000.

PIBG mengharapkan surau boleh dilengkapi dengan sistem audio, pembesar suara, amplifikasi elektronik (PA) sistem, projektor LCD dan peralatan komputer.

Kerja naik taraf sedang rancak dilakukan dengan dana yang ada.