KOTA TINGGI - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas di sini menjadi sekolah pertama menjalankan projek sangkar ternakan ikan melibatkan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Nizam Ali berkata, projek ternakan ikan keli dan talapia itu melibatkan kos kira-kira RM80,000.

Menurutnya, projek yang akan dibangunkan di kawasan lapang bersebelahan sekolah itu turut melibatkan kolaborasi guru dan pelajar tingkatan empat serta lima.

“Usaha NBOS ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos dan melalui usaha sama ini kita akan menggunakan khidmat kepakaran kejuruteraan dari segi peralatan mesin dan sebagainya daripada pihak ATM.

“Pihak sekolah sememangnya mempunyai hubungan baik dengan ATM melalui kolaborasi dan kerjasama yang dilakukan untuk menjayakan aktiviti sekolah sejak tahun lepas lagi,” katanya.

Nizam berkata, projek berkenaan yang akan dimulakan Mac ini dan dijangka siap pada April turut mendapat khidmat nasihat daripada Pejabat Pertanian.

Katanya, satu kolam dijangka dapat menternak kira-kira 10,000 ekor ikan yang dirancang akan dijadikan produk ikan salai.

“Benih ikan akan kita ternak sendiri di kawasan khas di sekolah ini dan akan dilepaskan di kolam-kolam tersebut.

“Usaha dilakukan ini secara tidak langsung melatih pelajar kita menjadi usahawan,” katanya.