PIBG SK Subang Bestari (2) mengakui kekurangan dana hasil sumbangan ibu bapa menyukarkan mereka mengadakan program mahupun majlis untuk murid dan membaiki kerosakan infrastruktur sekolah.

Yang Dipertuanya, Mohd Sani Awang berkata, pihaknya perlukan sekitar RM80,000 setahun untuk program melibatkan murid, tidak termasuk kos baiki infrastruktur sekolah.

"Biasanya, hanya 50 peratus ibu bapa beri sumbangan, misalnya tahun lalu cuma berjaya kumpul RM39,000. Semua duit itu digunakan untuk majlis melibatkan murid.

"Contohnya sempena Hari Kanak-kanak tahun lalu, kami peruntukan hadiah bernilai RM3 setiap seorang murid sedangkan sekolah ini mempunyai 2,000 murid. Jadi kos hadiah sahaja berjumlah RM6,000 belum termasuk kos makan minum," katanya.

Hari Anugerah SK Subang Bestari 2.

Kata beliau, jika semua ibu bapa beri sumbangan, pihaknya tidak akan hadapi masalah untuk melaksanakan lebih banyak program.

Tegasnya, itu baru berkaitan program dan sememangnya RM80,000 diperoleh itu masih belum mencukupi sekiranya mahu digunakan bagi baiki infrastruktur sekolah.

"Bagi membaiki infrastruktur sekolah seperti tandas, pagar dan sebagainya, sekurang-kurangnya memerlukan RM150,000. Setiap ringgit disumbangkan ibu bapa, faedahnya untuk murid.

"Bila dana tak cukup, banyak program tak dapat dibuat. Sebab itu, kami juga mengharapkan pemimpin setempat dan mana-mana syarikat turut serta beri sumbangan selain meyakinkan ibu bapa dengan pelbagai program supaya mereka terus mahu beri sumbangan," katanya.

Ini pula keluhan seorang guru yang kecewa dengan tindakan sesetengah ibu bapa.

Berita penuh mengenai luahan beliau berkenaan sikap  ibu bapa sekarang boleh dibaca melalui link ini https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/banyak-program-nak-buat-tapi-kutipan-pibg-makin-kurang-guru-ini-dedah-sikap-ibu-bapa-1.921908