BAHAU - PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang St Heiler, di sini yakin berlaku peningkatan peratusan kelulusan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.


Yang Dipertua PIBG, K Manoharan berkata, walaupun terdapat penyusutan peratusan kelulusan tahun lalu, namun pihaknya yakin akan keupayaan murid-murid sekolah itu dalam mencapai sasaran.


Menurutnya, tahun ini pihaknya menyasarkan 70 peratus lulus bagi semua subjek dalam UPSR, malah keyakinan semakin tinggi selepas melihat kesungguhan murid-murid dan guru-guru sendiri.


“Masing-masing komited mengharumkan nama sekolah termasuk PIBG yang sanggup mengeluarkan bajet untuk membantu guru-guru melaksanakan kelas tambahan.


“Bagi pihak PIBG, kita bersedia berkorban masa dan apa juga asalkan permata hati kami ini dapat meneruskan pelajaran ke sekolah menengah di sekolah yang terbaik sehingga mampu mengubah nasib keluarga,” katanya selepas selesai Mesyuarat Agung PIBG dan Guru sekolah di sekolah itu, baru-baru ini.


Hadir sama, Adun Jeram Padang, Datuk L Manickam.


Kata Manoharan, mesyuarat kali ke-30 ini disifatkan berjaya susulan kehadiran ibu bapa dan penjaga adalah menggalakkan iaitu lebih kurang 120 orang.


Sementara itu, Manickam berkata, sekolah ini mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan sebanyak RM150,000.


“Peruntukan khas ini merupakan bajet untuk penyelenggaraan bangunan sekolah yang telah dimohon pada penghujung tahun lalu dan pelaksanaannya dilakukan pada tahun ini.


“Penyelenggaraan bangunan ini boleh diguna pakai sama ada untuk baik pulih tandas, kantin sekolah atau lain-lain bangunan yang difikirkan perlu,” katanya.