TANAH MERAH - Walaupun agak pelik, permohonan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Nyior, di sini, untuk mendapatkan bantuan benih kelapa dan baja tetap diluluskan Ahli Parlimen, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Permohonan tersebut dibuat Timbalan Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Mohd Razali Ibrahim pada ucapan alu-aluan sempena majlis perasmian mesyuarat agung persatuan berkenaan, kelmarin.

Benih kelapa dimohon itu sebagai tambahan kepada hampir 30 pokok kelapa sedia ada diusahakan PIBG terbabit sebagai satu sumber bagi menambah dana persatuan.

Ikmal Hisham berkata, sepanjang merasmikan mesyuarat PIBG sekolah di parlimen ini, ini kali pertama beliau selaku ahli parlimen menerima permohonan seperti itu.

“Ini kali pertama orang minta benih pokok (kelapa) kerana selalunya, bila saya rasmi mesyuarat PIBG, mereka minta wakaf tempat menunggu, garaj kereta atau tandas,” katanya ketika merasmikan mesyuarat berkenaan.

Turut hadir Timbalan Pengarah Dun Kemahang, Wan Rakemi Wan Zahari danGuru Besar sekolah itu, Hamdan Yusof.

Pada ucapan sama, Ikmal Hisham turut meluluskan permohonan untuk membeli alat siar raya mudah alih, dua set jersi bola jaring dan sumbangan cat untuk mengecat bilik darjah.