KOTA TINGGI - Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili menganjurkan Program Sentuhan Akhir dan Santapan Minda, bagi memberi persediaan terakhir buat calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu menduduki peperiksaan hari ini.

Program Ala Asrama UPSR itu diadakan sejak sebulan lalu berakhir kelmarin, di mana murid dibahagikan dalam kelompok kecil dan dibantu guru-guru bagi setiap sesi dianjurkan.

Terdahulu, majlis penutup program tersebut disempurnakan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Norazman Othman yang turut memberi dan berkongsi motivasi serta tips terakhir kepada calon sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Guru Besar, Ramlan Ramsoo berkata, pelbagai program diatur untuk memastikan kejayaan seperti mana calon yang menetap di asrama melalui kelas tambahan, program motivasi selain bengkel teknik menjawab.

“Kita berterima kasih atas kerjasama diberikan termasuk guru, ibu bapa, Kejora dan semua pihak yang bantu jayakan semua program diatur.

“Kita harap dengan doa serta hasil keikhlasan semua pihak akan membuahkan hasilnya dan memberi kejayaan kepada anak-anak calon UPSR di sekolah ini,” katanya.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Permuafakatan Ibu Bapa sekolah berkenaan.