MERSING - Seramai 115 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Abdul Kadir menyertai program Mesti A Jika Usaha (Maju) anjuran Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pegawai Seranta (Felda) JPM Wilayah Johor Bahru, Sharil Buang berkata, program itu memberi pendedahan kepada peserta tentang situasi dan peluang kerjaya dalam bidang kemahiran selepas SPM.

“Kita mahu peserta faham akan situasi sebenar dan cabaran yang bakal dihadapi mereka apabila tamat tingkatan lima.

“Jadi, kami bantu beri gambaran sebenar, kehidupan selepas belajar melalui penceritaan pakar motivasi yang kami bawa ke sini,” katanya kepada Sinar Harian selepas program berkenaan di Felda Tenggaroh 05, semalam.

Menurut beliau, pihaknya mengharapkan peserta dapat meningkatkan pengetahuan terutama pelajar yang bermasalah pembelajaran mengenai kehidupan selepas belajar nanti.

“Sebab itu kita kongsi pengetahuan berkaitan bidang kemahiran serta pasaran pekerjaan yang ada.

“Ini juga ruang dan peluang kepada peserta untuk menyertai latihan Sijil Kemahiran Malaysia yang diiktiraf kerajaan Malaysia,” katanya.

Antara pakar motivasi yang terlibat sepanjang program ialah, Pegawai Seranta, Norasri Paimon untuk slot ‘The Power of Dream’ dan Mahasiswa PHD dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Ruzimi Mohamed bagi slot Transformasi Minda.