MACHANG - Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Hamzah 2 dan Unit Jaringan Masyarakat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan berjaya menyiapkan lukisan mural dalam masa tiga hari yang dilakukan di dinding kelas linus sekolah itu.

Guru Besar SK Hamzah 2, Nik Roshamidi Nik Yaacob berkata, lukisan bertemakan Ceria Linus Kemerdekaan itu bertujuan menarik minat murid untuk datang ke sekolah.

Menurutnya, selain mengajak murid memahami dengan lebih jelas mesej lukisan itu juga mengindahkan kawasan sekolah.

“Lukisan yang penuh dengan maksud tersirat dan tersurat ini juga diharapkan mampu menjadi penyuntik semangat kepada murid untuk belajar dengan lebih tekun dan mencipta kejayaan.

“Jika dahulu dinding sekolah hanya kosong, namun kini dengan adanya hiasan mural ia menambahkan keceriaan sekolah,” katanya selepas majlis perasmian mural tersebut yang disempurnakan Rektor UiTM, Dr Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan.

Tuan Mohd Rosli menandatangani lukisan mural sebagai simbolik perasmian.

Pengarah projek, Sarman Mohamad berkata, program tersebut melibatkan empat mahasiswa UiTM Kelantan dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.

Kata beliau, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pihak luar sekali gus mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

Tambahnya, kerjasama yang dilaksanakan melalui Unit Jaringan Masyarakat tidak terhad kepada aktiviti tertentu sahaja tetapi me-libatkan pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong, lukisan mural dan banyak lagi.

Projek Ceria Linus indahkan landskap SK Hamzah 2.

“Mural yang dihasilkan bukan sekadar lukisan, tapi sarat dengan ilmu yang mampu menjadikan murid di sekolah ini lebih berpengetahuan.

“Bila suasana ceria, secara tak langsung menarik minat murid datang ke sekolah dan proses penyebaran ilmu menjadi lebih mudah,” katanya.

Murid turut sama  menjayakan mural Ceria Merdeka.