Shah Alam  - Bagi meneruskan legasi Yang Amat Mulia Almarhum Tengku Azman Shah Alhaj, Tengku Puteri Saidatul Aini dan kekanda-kekandanya berkenan hadir pada Majlis Silaturahim dan  Jamuan Makan Malam diadakan warga Sekolah Kebangsaan (SK) 1 dan 2 Tengku Bendahara Azman.

Majlis penuh meriah yang diadakan di  Hotel De Palma di sini, turut dihadiri Tengku Indera Pahlawan Tengku Datuk Setia Putera Al-Haj, Tengku Nazri, Tengku Petri Insani, Tengku Shamsul Bahri dan Tengku Hishamuddin.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Adliyah Ramli, dan Yang Dipertua PIBG, Taufik Chew.

Dari kanan:  Nah Swee Chin, Tengku Puteri Saidatul Aini dan Tengku Petri Insani.

Tengku Puteri Saidatul Aini dalam ucapannya berkata, mereka adik-beradik berasa terpanggil untuk menjalin semula silaturahim dengan pihak sekolah yang mengambil sempena nama ayahanda mereka.

“Kami adik beradik berasakan perlu meneruskan hubungan ini dan membantu menyumbang bagi meningkatkan prasarana sekolah untuk menyediakan kemudahan selesa untuk murid di sekolah ini,” katanya.

Guru wanita dari SK (1) dan (2) Tengku Bendahara Azman bergambar bersama.

Sementara itu Guru Besar SK (1) Tengku Bendahara Azman, Halim Ahmad, pihaknya sangat terharu dengan kunjungan keluarga diraja itu dan berasakan penghargaan yang amat tinggi kepada pihak sekolah.

“Keprihatinan dan sokongan padu tengku sekeluarga diharapkan menjadi suntikan semangat dan menyemarakkan lagi keazaman serta komitmen warga pendidikan sekolah ini,” katanya.

Selain itu, Guru Besar SK(2) Tengku Bendahara Azman, Fauzana Sharif berkata, pihak sekolah sangat mengalu-alukan sebarang bentuk sokongan dan sumbangan yang ingin diberikan.

Pada majlis itu turut diadakan tayangan multimedia berkenaan sejarah, persekitaran dan program keceriaan sekolah yang dilakukan.

Dari kiri:  Datuk Nik Badli Shah, Tengku Shamsul Bhari,  Tengku Nazri dan Tengku Hishamuddin.

Segak berbaju batik warga SK (1) dan (2) Tengku Bendahara Azman bergambar bersama tetamu.

Guru SK (1) dan (2) Tengku Bendahara Azman bergambar bersama keluarga diraja yang berkenan hadir Majlis Silaturahim dan Jamuan Makan Malam.

Fauzana menerima cenderamata daripada Tengku Dato Setia Putra Alhaj.

Halim menerima cenderamata daripada Tengku Dato Setia Putra Alhaj.