KLUANG - Seramai 100 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Saleng, Kulai menyertai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Senai Utama, semalam.

Guru pengiring, Nahzatul Afzan Razali berkata, program itu melibatkan tujuh sekolah di sekitar kawasan Kulai bagi memberi peluang kepada murid pendidikan khas termasuk kategori autisme dan sindrom down merasai pengalaman menaiki kereta api dari Kulai ke Kluang.

Menurutnya, peserta juga dibawa melihat haiwan dan menikmati kehijauan di ladang UK Farm, Kluang.

“Objektif utama program ini adalah memberi peluang murid ini bersosial dengan rakan dari sekolah lain serta membuka minda mereka kepada dunia luar.

“Selain menimba pengalaman menaiki kereta api dan melihat sendiri bagaimana susu kambing diperah di ladang UK Farm, mereka juga dibawa melihat ternakan lain seperti burung unta, rusa, arnab dan ayam,” katanya.

Nahzatul Afzan berkata,program berkenaan dilihat memberi kesan positif kepada murid terlibat.

Beliau berharap, program itu dapat diadakan berterusan kerana mampu membantu murid menimba ilmu melalui pembelajaran di luar bilik darjah.

“Ini salah satu cara yang kita terapkan kepada murid agar mereka dapat mempelajari sesuatu yang berfaedah dan tidak tertumpu di dalam kelas sahaja.

“Malah ibu bapa yang turut serta juga memberi respons positif," katanya.