BACHOK – Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kemudi telah membuat Jalur Gemilang sepanjang 30 meter sempena penutup Bulan Kemerdekaan.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Seri Kemudi, Norkarimah Mohamad berkata, Jalur Gemilang itu dibuat menggunakan teknik 'copan' tapak tangan yang mengambil masa tiga jam, melibatkan 30 murid pendidikan khas di bawah bimbingan guru dan pembantu pengurusan murid.

Beliau berkata, ia dibuat untuk menanam rasa cintakan tanah air, menyemarakkan semangat patriotisme dan menyedarkan mereka mengenai nikmat kemakmuran yang dikecap hari ini adalah hasil pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu.

“Melalui projek yang kita laksanakan ini, murid dapat aplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kelas ke medium yang saiznya lebih besar daripada kertas lukisan biasa.

“Murid juga dapat meningkatkan penguasaan koordinasi mata dan tangan terutama bagi murid yang hiperaktif dan autisme. Mereka sudah pasti seronok dapat mempamerkan hasil
kerja mereka kepada seluruh warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata, projek tersebut berjaya dilaksanakan hasil sumbangan kewangan kementerian yang disalurkan kepada sekolah untuk program PPKI.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong projek berkenaan terutama guru besar, Hatijah Mamat.