PAGOH - Beraksi seperti sebuah tugu negara, demikian kelainan yang diketengahkan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felcra, Bukit Kepong, Labis, di sini, dalam menjayakan hari sambutan bulan kebangsaan peringkat sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Razak Johar berkata, pendekatan berbeza itu dibuat sebagai usaha pelajar untuk menghayati makna kemerdekaan.

“Melalui persembahan unik yang ditonjolkan pelajar dengan beraksi seperti sebuah tugu negara, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai patriotik dalam kalangan mereka. Kita mahu mereka tahu makna kemerdekaan.

“Penciptaan tugu ini kerana kita mahu melakukan sesuatu yang lain daripada lain, supaya pelajar ini faham mengenai makna kemerdekaan, kibaran Jalur Gemilang yang membawa erti bahawa Malaysia bebas daripada penjajah,” katanya kepada Sinar Harian.