MUAR - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Baru, di sini, menyahut seruan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) dalam menganjurkan program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS).

Guru Penyelaras Koperasi SMK Pekan Baru, Mohd Nazri Md Din berkata, program itu dianjurkan sebagai usaha melatih pelajar yang juga ahli koperasi agar mempunyai keyakinan diri selain mendidik ilmu keusahawanan.

Menurutnya, PKS adalah program anjuran Angkasa dengan kerjasama Kementerian Pendidikan yang dibuka kepada semua sekolah di seluruh negara.

“Bagi saya, program ini satu bentuk pembelajaran yang unik di mana kita menerima kunjungan daripada ahli koperasi SMK Bandar Baru Perda Berhad, Pulau Pinang seramai 38 orang yang berperanan sebagai tetamu manakala SMK Pekan Baru pula sebagai tuan rumah.

“Jadi dari situ, pelajar kami akan dilatih cara melayani tetamu melalui aktiviti lawatan yang dianjurkan dan mereka akan diminta memberi penerangan lengkap mengenai projek yang dilawati itu,” katanya ketika program Projek Lawatan Berkolaborasi antara PKS dengan kerjasama Angkasa di Inap Desa Parit Bugis di sini, baru-baru ini.

Program selama tiga hari itu melibatkan pelbagai aktiviti seperti lawatan di ladang nanas, melihat proses perusahaan gula Melaka di Parit Latip, meninjau bengkel pembuatan gerabak dan meneliti hasil seni rumah tradisional Jawa yang terdapat di Parit Bugis.

Mohd Nazri berkata, semua pengurusan dan pengendalian diaturkan oleh pelajar termasuk penginapan serta makan dan minum, manakala guru pula berperanan sebagai pemantau dan pembimbing.

“Pendedahan yang diberikan kepada pelajar untuk mengendalikan sendiri atur cara ini dapat membantu membentuk kemahiran berkomunikasi selain mempelajari cara menyediakan kertas kerja bagi merancang sesuatu tugasan.

“Melalui kaedah ini, pelbagai pengalaman dapat diperoleh dan lebih utama, mereka mempunyai pengetahuan baru untuk diaplikasikan dalam dunia pelajaran mahupun pekerjaan selepas ini,” katanya.

Tambahnya, penganjuran program itu juga berupaya menjana pendapatan koperasi sekolah selain mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di daerah ini.

Sementara itu, seorang pelajar SMK Pekan Baru, Izz Haraz Hamishamsul, 15, berkata, pengalaman menjadi hos kepada pelajar dari sekolah luar adalah suatu perkara baharu buatnya.

“Saya diberi peluang kendalikan atur cara termasuk memberi penerangan kepada tetamu.

“Pengalaman ini menjadi latihan kepada kami dan boleh diaplikasikan di universiti ataupun dalam dunia pekerjaan nanti,” katanya.