MUAR - Bukan sahaja pelajar, malah penduduk kampung juga merasai peluang berinteraksi dalam bahasa Inggeris dengan pelajar antarabangsa apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Baru menganjurkan Program Imersif Tinggi (HIP), baru-baru ini.

Program diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak Februari lalu bertujuan mengukuhkan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan pelajar sebelum SMK Pekan Baru menjadi antara sekolah terawal di negeri ini melaksanakannya.

SMK Pekan Baru turut melibatkan penduduk Kampung Parit Bugis dalam program itu ketika menerima kunjungan dua sekolah dari Singapura.

Pengetuanya, Hanim Abdullah berkata, gabungan dua komuniti itu adalah pertama kali dilaksanakan setelah empat kali menerima kunjungan sekolah berbeza dari republik berkenaan

“Kita terima kunjungan 102 pelajar termasuk guru dari Cresent Girls Secondary School dan Guanyang Secondary School.

“Pelbagai aktiviti dilaksanakan dan semua pihak yang terlibat harus bertutur dalam bahasa Inggeris. Malah, pengawal keselamatan sekolah kami juga diwajibkan berinteraksi dalam bahasa Inggeris ketika mengalu-alukan kedatangan tetamu,” katanya pada program berkenaan.

Hanim berkata, inisiatif itu diambil kerana pihaknya mahu menjayakan penguasaan HIP bukan sahaja kepada pelajar sekolah, malah untuk semua komuniti.

Katanya, hampir 100 pelajar SMK Pekan Baru terlibat dan kira-kira l20 penduduk kampung turut mengambil bahagian dalam program itu.