Dunia anak muda termasuklah juga dalam kalangan pelajar sekolah kini lebih terpengaruh dengan budaya muzik Barat.

Apabila sebut sahaja muzik tradisional, sudah tentu ia dianggap sebagai ‘ketinggalan zaman’.

Namun, lain pula yang berlaku dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah (SMK) Sultan Sulaiman, mereka sentiasa didedahkan dengan muzik tradisional warisan bangsa sejak tingkatan satu lagi.

Kesungguhan pihak pengurusan SMKSS yang dipimpin oleh Cikgu Shamsuddin Ismail itu terbukti menerusi kegiatan pasukan muzik dalam unit kokurikulum.

Pasukan Gamelan Bima Sakti yang ditubuhkan di SMKSS sejak 1992 telah menjadi pemangkin kepada suburnya kecintaan warga sekolah berkenaan terhadap seni muzik tradisional Melayu.

Pada masa ini, pasukan Bima Sakti itu menjadi semakin dikenali bukan sahaja dalam kalangan warga SMKSS, malah masyarakat setempat turut berkesempatan menyaksikan kehebatan pelajar tersebut dalam bermain alat muzik gamelan.

Sekolah tapak berkesan dan tepat untuk mendidik pelajar mempelajari seni gamelan 'Harta seni' berharga warisan bangsa.



Hal ini kerana Bima Sakti SMKSS sentiasa dijemput oleh pelbagai pihak luar untuk mengadakan persembahan bagi memeriahkan sesuatu majlis.

Tahun 2013 dan 2015 merupakan kemuncak kepada kecemerlangan Bima Sakti SMKSS apabila pasukan tersebut dijemput untuk mengadakan persembahan dalam Pertandingan Gamelan Sedunia yang diadakan di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Bukan mudah bagi sesebuah kumpulan muzik gamelan dari sekolah untuk turut menyelitkan diri dalam pertandingan yang penuh berprestij itu.

Tetapi, Bima Sakti SMKSS membuktikan yang mereka mampu berada di antara pasukan muzik gamelan yang seharusnya dikagumi.

Menurut Ketua Guru Penasihat Bima Sakti SMKSS, Cikgu Mohd Zaidi Kamaruddin berkata,  minat dalam kalangan pelajar terhadap muzik tradisional seperti gamelan tidak pernah pupus, malahan ia sentiasa hidup subur.

"Saya amat berbangga dengan usaha pihak sekolah yang selama ini tidak pernah menghalang penglibatan pelajar untuk bergiat aktif dalam muzik tradisional," katanya.

"Secara peribadi, saya tidak nampak mengapa sesuatu elemen muzik tradisional tidak mampu disuburkan di sekolah. Para pelajar sebagai pewaris bangsa tidak seharusnya dibiarkan terus hanyut dengan ‘kegilaan’ muzik Barat, sedangkan selama ini kita sudahpun mempunyai seni muzik warisan bangsa sendiri yang lebih berseni dan hebat," katanya.

Cikgu Zaidi Kamaruddin sedang gigih mengajar anak-anak murid berkenaan selok belok kemahiran gamelan.



Tambah beliau,"Di SMKSS, semua pelajar diberikan peluang untuk menjadi ahli dalam pasukan gamelan Bima Sakti, asalkan mereka benar-benar mahu belajar seni muzik tersebut dengan tekun dan tidak sekadar buat sambil lewa semata-mata mahu melengkapkan markah kokurikulum sahaja. Kami mahu seni muzik gamelan yang dianggap antara seni muzik tradisional bangsa yang cukup unik dan hebat ini dapat diperhidupsuburkan dari semasa ke semasa. Insya-Allah, saya amat berkeyakinan bahawa kecintaan generasi muda terhadap seni muzik tradisional dapat diperkukuhkan menerusi penglibatan semua pihak. Pada saya, di sekolahlah wadah pertama yang terbaik dalam menyubur dan menyemarakkan rasa cinta terhadap seni warisan bangsa."

Semoga seni muzik tradisional warisan bangsa seperti gamelan akan terus hidup subur meskipun dunia hari ini seakan-akan semakin banyak diasak oleh muzik moden.
 

Aksi kumpulan gamelan di Dewan Gamelan.

 

Pencinta seni warisan bangsa.