PASIR MAS - Khidmatnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong hanya cuma dua tahun sebelum persaraannya pada Ahad lalu.

Namun dalam tempoh yang tidak lama itu, Norasimah Ab Rasid yang merupakan bekas pengetua dan bersara pada usia 60 tahun meninggalkan banyak jasa kepada sekolah tersebut.

Norasimah (dua, kanan) bersama guru-guru perempuan SMK Tendong yang meraikannya.

 

Ini diakui sendiri Penolong Kanan Pentadbir, Shamsiah Shafie yang memberitahu, sejak beliau memulakan tugas pada 2 Mei 2016, Norasimah melakukan banyak perubahan terhadap persekitaran serta kemudahan dan juga akademik di SMK Tendong.

“Antara jasa beliau yang akan kami kenang ialah apabila surau dinaik taraf menjadi Masjid Al-Fallah, menukar kerusi serta meja baru di kantin bagi memberi keselesaan kepada pelajar.

“Bukan itu sahaja, dengan khidmat serta usahanya, sebuah dewan perdana dan dewan untuk pelajar pra-universiti juga berjaya diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Lambaian Kasih, Kilauan Jasa Sanjungan Budi yang diadakan khas bagi merasaikan persaraan Norasimah.

Pada majlis itu, Norasimah telah diarak dengan kereta kuda sambil diiringi oleh guru-guru dan pelajar sempena hari terakhir beliau di sekolah tersebut.

Menurut Shamsiah, usaha Norasimah dalam menghidupkan taman-taman di sekitar kawasan sekolah juga merupakan perkara terbaik dilakukannya untuk memastikan suasana sekolah sentiasa ceria.

Katanya, semua pengorbanan dan idea yang dicetuskan beliau untuk meletakkan SMK Tendong sebagai sebuah sekolah terbaik disambut baik oleh semua pihak bukan sahaja guru tetapi juga ibu bapa.

Beliau berkata, ketiadaan Norasimah kerana bersara adalah satu kerugian besar buat sekolah.

“Beliau juga seorang yang mudah mesra dan senang didekati oleh kami.

“Ketiadaan beliau di sini sangat dirasakan dan kami berterima kasih kepadanya untuk jasa serta pengorbanan yang pernah dicurahkan selama ini,” katanya.