“Gaya persembahan dan penerangan ciptaan mereka berjaya memikat hati juri dan pengunjung yang berada  di sini,” demikian kata guru penasihat pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Laka Selatan, Norashida Abu Bakar selepas pasukan bimbingannya berjaya memikat keputusan juri dalam pertandingan National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCOMPEX).

Dalam pertandingan tersebut, sekolah berkenaan membolot dua pingat kemenangan dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang diadakan  di Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS), Kedah, baru-baru ini.

Mereka memenangi pingat perak menerusi ciptaan 21st Century Classroom Portable Trolley manakala pingat gangsa dimenangi menerusi Automatic Tissue Dispencer yang diwakili muridnya berusia antara 10 hingga 12 tahun.

Sementara itu, guru besar SK Felda Laka Selatan, Mohd Nizam Saidin berkata, pertandingan tahunan iCOMPEX yang dianjurkan POLIMAS disertai pelbagai institut pengajian tinggi dalam negara.

“Pertandingan sebegini memberi peluang kepada murid sekolah ini menunjukkan bakat mereka dalam menghasilkan ciptaan baru. Mereka perlu bersaing dengan 600 penyertaan daripada institut pengajian tinggi dan sekolah lain.

“Kejayaan ini membuatkan peserta akan meneruskan lagi pertandingan ini ke peringkat antarabangsa pada April ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai penyertaan mereka, seorang lagi guru, Ahmad Faizal Ab Saad berkata, murid yang menyertai pertandingan ini dipilih berdasarkan kemampuan mereka dalam menghasilkan ciptaan baru serta mampu menerangkan secara terperinci produk ciptaan mereka.

“Selain itu, mereka turut diberikan idea dan latihan sebelum pertandingan.

“Usaha berterusan ini membuahkan hasil dengan kejayaan pingat yang diperoleh,” katanya.