SUNGAI PETANI - Berikutan peratus pelajar menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen agak tinggi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan program advokasi kepada golongan terbabit.

Pengarah Penguat kuasa JPJ, Datuk V Valluvan Vello berkata, berdasarkan statistik yang dijalankan JPJ bersama Kementerian Pendidikan, mendapati kira-kira 80 peratus atau 93,600 daripada 117,000 pelajar menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen.

“Hanya 20 peratus daripada jumlah itu iaitu 23,000 pelajar memiliki lesen motosikal B2 yang sah.

"Untuk langkah awal, pihak JPJ akan memilih beberapa sekolah terpilih sebagai projek perintis susulan pelancaran Pasukan Kadet JPJ di 221 sekolah menengah di seluruh negara.

“Program advokasi adalah mendidik pelajar mengenai pengetahuan undang-undang jalan raya untuk satu tempoh tertentu sebelum pihak JPJ menguatkuasakan undang-undang
sedia ada di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas melancarkan Pasukan Kadet JPJ peringkat Kedah, di Auditorium Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah (MPSPK) di sini, semalam.

Sebanyak 17 sekolah membabitkan 595 pelajar sekolah menengah seluruh Kedah terlibat dalam Penubuhan Pasukan Kadet JPJ peringkat negeri.

Mereka antara 221 sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan di seluruh negara dan menjadikan Pasukan Kadet JPJ sebagai satu program kokurikulum di sekolah yang memfokuskan aktiviti kepentingan keselamatan jalan raya serta pendedahan terhadap undang-undang jalan raya.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mohamed Rafed Ismail dan Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff.

Valluvan berkata, pelaksanaan program advokasi untuk pelajar itu masih lagi di peringkat perbincangan bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan
Kementerian Pendidikan.

“Program ini dijangka dilaksanakan untuk satu tempoh tertentu, di mana pihak JPJ memberi peluang kepada pelajar memahami menerusi pendidikan.

"Selepas itu, kita (JPJ) akan masuk ke sekolah untuk mengambil tindakan kepada pelajar menunggang motosikal tanpa lesen," katanya.

Kata beliau, bukan pelajar sahaja, pemilik motosikal iaitu mungkin ibu atau bapa turut akan dikenakan saman dan motosikal berkenaan akan disita oleh pihak JPJ.

"Kesalahan menunggang tanpa lesen bukan sesuatu perkara perlu diambil mudah, tetapi ia melibatkan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, Valluvan turut meminta pihak sekolah tegas dengan tidak membenarkan pelajar yang membawa kenderaan, khususnya motosikal tanpa lesen.