KOTA BHARU- Lebih 1,000 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan bersama komuniti setempat menyemarakkan sambutan ambang merdeka yang berlangsung di sini, pagi tadi.

Pada majlis menyuburkan semangat menghayati kemerdekaan  itu juga turut diadakan kayuhan Jalur Gemilang disertai 60 peserta sebagai simbolik usia ulang tahun negara merdeka.

Guru besarnya, Che Sazali Che Ibrahim berkata, selain proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas aktiviti sebegini juga penting bagi memupuk rasa cintakan negara.

Katanya, ia boleh membantu murid untuk sama-sama mempertahankan keamanan dan kesejahteraan  negara yang dimiliki selama ini hasil perjuangan  insan terdahulu.

"Selama 60 tahun ini bukan satu jangka masa yang singkat. Pelbagai kemudahan dinikmati rakyat dan murid termasuk adanya komputer, bahkan murid di sini dapat belajar dengan baik. Ini hasil kemerdekaan negara kita," katanya kepada media.

Majlis sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat SK Mentuan  yang turut digemakan dengan nyanyian lagu 'Jalur Gemilang, 'Sehati Sejiwa' dan 'Tanggal 31 Ogos' itu dirasmikan Ketua Umno Kubang Kerian, Datuk Seri  Muhammad Abdul Ghani.

Che Sazali berkata, selain program berkenaan pihaknya terus menghidupkan semangat kemerdekaan menerusi pelbagai pendekatan termasuk aktiviti penghayatan betapa pentingnya merdeka dan menghargai kumpulan yang membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Murid dan guru bersemangat ketika menyanyikan lagu 'Jalur Gemilang.'

Tambah beliau, pihaknya turut melibatkan komuniti dalam program sekolah memandangkan sokongan ibu bapa amat penting dalam menggerakkan aktiviti  termasuk usaha bersama bagi masyarakat menghayati merdeka.

Sementara itu, Muhammad  yang juga Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Kelantan berkata, generasi yang ada hari ini perlu meneruskan perjuangan golongan terdahulu dalam memerdekakan negara.

"Janganlah kita berpecah belah. Bangunkan negara bersama kepimpinan yang ada sekarang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, biarlah negara semakin lama semakin maju," katanya.

Kayuhan Jalur Gemilang disertai 60 peserta sempena sambulan kemerdekaan tahun ini.

Pertandingan basikal berhias turut diadakan.

Masing-masing menghias cantik basikal dengan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Dalam masa sama bagi menyemarakkan lagi kayuhan sejauh empat kilometer bermula dari SK Mentuan itu, Che Sazali dan Muhammad turut sama menguji stamina membuat kayuhan sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Penyertaan seorang penduduk, Abdul Kadir Mamat, 77 yang berpakaian lengkap diperbuat daripada Jalur Gemilang ditempah khas di Melor turut mencuri perhatian orang ramai yang hadir pada program tersebut.<