KOTA BHARU- Pelajar diminta memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing bagi menyuburkan semangat patriotik Merdeka.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, Che Daud Harun berkata, pemasangan Jalur Gemilang di rumah-rumah itu penting menunjukkan patriotisme dan sepatutnya ia bermula di rumah.

Pasukan pengakap SMK Raja Sakti turut menyertai perarakan Merdeka.

"Kita semai semangat patriotisme terhadap lambang Jalur Gemilang dan perlu memandang tinggi kerana ia adalah kebanggaan negara.

"Kita harap semua guru dan pelajar memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing kerana bulan ini adalah bulan Merdeka, selain sebagai mengenang sejarah kemerdekaan di negara ini,"  katanya kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah, di sini.

 Pelajar SMK Raja Sakti mengibarkan Jalur Gemilang.

Pada sambutan itu, lebih 3,000 pelajar dari tiga sekolah termasuk Sekolah Kebangsan (SK) Kota Jembal dan SK Raja Bahar, selain Tadika Kemas An-Nur serta penglibatan komuniti setempat.

Kata Che Daud, beliau juga mahu pelajar mengibarkan Jalur Gemilang dan tahu tujuan ia dilakukan serta makna setiap lambang yang ada pada Jalur Gemilang.