SABAK BERNAM - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 13 Sungai Nibong, mempunyai cara tersendiri menzahirkan sambutan bulan kemerdekaan dengan menghasilkan Jalur Gemilang guna cara catan tapak tangan.

Penyelaras projek yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah itu, Mohd Ghazali Mohamad Taher berkata, Jalur Gemilang gergasi dipenuhi kira-kira 1,000 cap tapak tangan berukuran 10 meter panjang dan lima meter lebar itu dihasilkan seramai 112 murid dan 18 guru sekolah berkenaan.

Menurutnya, projek yang mendapat sokongan Guru Besar SK Parit 13, Jaafar Wahadan tersebut dilakukan secara gotong-royong itu berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu.

“Penghasilan bendera gergasi menggunakan teknik cap tapak tangan menggunakan kain seluas 50 meter persegi dengan tujuh botol cat pelaka itu bertujuan menanamkan semangat patriotisme dalam diri warga sekolah khususnya murid-murid.

“Secara tidak langsung ia turut melahirkan rasa sayang pada Jalur Gemilang sekali gus menzahirkan rasa cinta pada negara,” katanya.

Pada masa sama, katanya, projek itu mewujudkan semangat kerjasama dalam kalangan warga sekolah termasuk guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan murid.