PONTIAN - Seramai, 5,000 ahli pengakap dari Malaysia, Singapura dan Indonesia menyertai Southern International Scout Fiesta (SISF) yang julung kali diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat di sini, baru-baru ini.

Penyelarasnya, Anuar Salleh berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program sehari itu.

Menurutnya, pihak sekolah amat berbesar hati dengan komitmen ahli pengakap dari seluruh negara memeriahkan festival tersebut.

Malah katanya, jumlah kehadiran yang direkodkan amat luar biasa sehingga memenuhi kawasan sekolah berkenaan.

“Bukan mudah untuk mengumpulkan ahli pengakap yang begitu ramai dalam satu-satu masa. Justeru perancangan rapi diatur sejak September 2016.

“SISF juga mendapat kelulusan penganjuran oleh Jemaah Menteri pada 31 Mac 2017. Lebih bermakna lagi, peserta Singapura dan Indonesia turut menyertainya,” katanya.

Anuar berkata, dalam program tersebut turut disampaikan Anugerah Bintang dan Pingat JDT kepada 21 penerima yang banyak menabur jasa kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Johor.

Bintang dan pingat disampaikan Pengerusi Yayasan Pengakap Malaysia, Datuk Ismail Ramli.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap negeri, Yaacob A Karim; Pengetua SMK Dato Penggawa Barat, Hashim Mohd Dom dan Pesuruhjaya Pengakap daerah, Mohd Zaki Azman.

Menurut Anuar, rata-rata ahli pengakap memberi respons baik terhadap aktiviti yang dijalankan seperti pameran, permainan tradisional, makanan tradisi dan pertandingan bercerita.

“Pada tahun lepas, SMK Dato Penggawa Barat telah menjadi tuan rumah Perkhemahan Penghujung Benua Asia selama empat hari," katanya.