KOTA BHARU- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang menyokong program World #QuranHour kerana beranggapan pelajar yang dekat dengan al-Quran mempunyai jiwa yang lebih halus, lembut dan faham apa yang dianjurkan Islam.

Penolong Kanan Pentadbiran SMK Penambang, Mohamed Nasir Yusoff berkata, berdasarkan pengalamannya mendidik pelajar, mereka di usia remaja perlukan pengisian rohani agar dapat menjalani hidup lebih terarah.

Mohamed Nasir (kanan) bersama Surena (kiri) dan Mokhtar (dua, kanan) ketika program sokongan World #QuranHour di SMK Penambang.

“Kita mahu mereka sopan dan menghormati orang lebih tua, malah kita membimbing mereka mengikut kehendak agama.

“Ketika remaja, kita menggalakkan mereka mendekati al-Quran dalam usaha menjadikan jiwa lebih halus, lembut dan mereka faham apa yang dianjurkan agama,” katanya ketika Program Jualan Book2U yang diketuai Eksekutif Book2U Cawangan Timur, Mokhtar Yasin Mustapa.

Turut hadir Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Sebahagian pelajar SMK Penambang menyokong World #QuranHour.

Mohamed Nasir berkata, pihak sekolah amat berharap pelajar dapat memahami intipati ayat al-Quran dan memahami surah yang dibaca terutama surah Lokman memberi didikan kepada anak-anak mengenai  tangungjawab terhadap ibu bapa dan masyarakat.

“Berdasarkan situasi ini, pihak sekolah  mahu pelajar menghayati al-Quran dengan pengisian program pada setiap Khamis supaya mereka tidak jauh dari saranan agama, malah bersyukur kerana disiplin  pelajar terkawal,” katanya.

Kata Mohamed Nasir, pihaknya menyokong program World #QuranHour terutama dengan pilihan surah Yasin sesuai untuk semua umat dan bagi pelajar, surah berkenaan memberi ketenangan, kecerahan hati, selain mendapat rahmat daripada ALLAH SWT.