KUALA PILAH - Hari Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Yamtuan Hitam Terachi meriah apabila dihadiri lebih 200 penduduk termasuk ibu bapa.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek berkata, hari sukan dianjurkan sekolah adalah platform terbaik mencungkil bakat dan melahirkan atlet muda.

“Penganjuran aktiviti sukan tersebut selaras dengan pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan yang bertujuan menggalakkan penglibatan murid sekurang-kurangnya dalam satu jenis sukan.

"Selain itu, program ini  dapat memupuk budaya semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak di sini," katanya.

Kata beliau, Usaha murni itu perlu mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapa yang hadir ke sekolah untuk memberi sokongan moral kepada anak-anak dan pihak sekolah.

Hasan menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang bertuah.

Menurut Hasan, murid sebenarnya memiliki potensi untuk diketengahkan bagi mewakili sekolah, daerah, negeri atau negara dalam temasya sukan.

“Cuma golongan ibu bapa dan warga sekolah perlu memberi peluang sebaik mungkin untuk mereka menonjolkan bakat dalam acara yang diminati.

“Ini sebab sukan juga mampu membentuk seorang murid yang cergas dan patuh dengan aturan. Secara tidak langsung juga membentuk seorang atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri kental serta mempunyai daya kepimpinan,” katanya.

Katanya, kejohanan sukan bukan setakat untuk menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara, namun perkara yang lebih penting adalah memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan mereka mendapat peluang sama terutama menerusi kegiatan sukan sekolah dan dapat mengukuhkan pelaksanaan dasar tersebut selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya lagi.

Pasukan hijau SK Yamtuan Hitam memasuki perbarisan sempena hari sukan tersebut.

Dalam pada itu, Hasan menyatakan kegiatan sukan secara berterusan akan menjadi satu benteng pertahanan kepada murid agar tidak terlibat dalam pelbagai aktiviti tidak sihat.

“Kita perlu anjur pelbagai program sukan sekolah supaya mereka terus berjaya dan dapat memaparkan potensi serta daya saing antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, hari sukan sekolah ini turut dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti tarik tali melibatkan penduduk dan ibu bapa dan cabutan bertuah.

Hasan menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang.