PENAGA - Biarpun tidak berpeluang berada di Dataran Merdeka bagi mengikuti perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan secara langsung, namun ia bukan satu penghalang pelajar daripada tabika, sekolah rendah dan juga menengah dari seluruh Penaga menyambut kemerdekaan di sini.

Sambutan yang turut disertai pelbagai lapisan masyarakat itu hanya babitkan perarakan di sekitar kawasan Pekan Penaga, Kepala Batas.

Bagaikan satu tradisi perarakan untuk sambut merdeka diadakan saban tahun sejak 2015 lagi.

Menariknya sambutan kemerdekaan kali ini melibatkan penyertaan yang lebih besar dengan seramai hampir 300 peserta terdiri daripada pelajar, pimpinan masyarakat daripada Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP), agensi seperti Bomba dan tidak ketinggalan Jabatan Penerangan serta beberapa agensi lain.

Perarakan bermula daripada Pusat Khidmat Adun Penaga sambil diteruskan pula dengan melalui sekitar kawasan Pekan Penaga.

Peserta juga mengambil peluang untuk sama-sama memasang bendera di beberapa sudut iaitu di hadapan kedai dan tiang lampu di pekan ini.

Mengakui pengalaman yang amat mengujakan, murid tahun lima, Mohd Haziq Fauzi, 11, berkata ini merupakan kali pertama dia menyertai perarakan kemerdekaan yang diadakan di sini.

Menurut Mohd Haziq, selama ini dia hanya menyaksikan perarakan kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur melalui televisyen, jauh di sudut hatinya teringin untuk merasai suasana sebegitu.

"Ini kali pertama saya berpeluang menyertai perarakan bagi menyambut kemerdekaan, sebelum ni kalau nak tengok pun melalui siaran langsung di televisyen saja, iaitu ketika sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka.

"Jadi bila terpilih untuk mengikuti program perarakan ini, memang saya tak fikir panjang dan terus menyertainya, biarpun mungkin tidak besar sebagaimana yang saya lihat di televisyen tapi sedikit sebanyak aura dan semangat kemerdekaan itu saya dapat rasakan ketika sama-sama berarak dengan peserta lain," katanya.

Peserta, Nor Shahirah Nor Faizan, 11, berkata terlibat dalam perarakan ini merupakan pengalaman yang menarik apabila bukan setakat berjalan, namun merasai sendiri perasaan gembiranya menyambut kemerdekaan.

"Bila berjalan, sambil kibarkan Jalur Gemilang, perasaan yang datang tu lain macam, rasa gembira dan seronok sangat.

"Tambahan pula dapat bersama raikan dengan rakan, saya memang lepas ni nak sertai lagi program sambutan kemerdekaan ini pada tahun hadapan, andai ada begini lagi sambutannya," katanya.

Sementara itu, Adun Penaga, Datuk Zain Ahmad berkata program perarakan sempena sambutan kemerdekaan ini merupakan antara yang terbesar dianjurkan di peringkat kawasan Penaga ini.

"Penaga sememangnya sinonim dengan acara perarakan seperti ini, melibatkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk daripada kanak-kanak dan pelajar.

"Secara langsung pada saya dengan sambutan sebegini, ia sekali gus menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan dan menanamkan semangat cintakan negara dalam diri setiap peserta," katanya.

Katanya, sambutan kemerdekaan selalunya sinonim dengan perarakan seperti mana yang diadakan di Dataran Merdeka, dan hasratnya adalah memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama merasai pengalaman menyambut kemerdekaan.

"Biarpun jauh jarak antara Kuala Lumpur dengan Penaga ini, namun itu bukan alasannya untuk masyarakat disini menyambutnya, sama juga dengan adakan perarakan, bagi merasai suasana apabila sambil berjalan, kita kibarkan Jalur Gemilang bersama-sama.

"Alhamdulillah, daripada apa yang saya lihat program ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat di kawasan Penaga ini," katanya.