TEMERLOH - Kira-kira 100 bekas pelajar Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan Chenor (SMTAAC), Maran berjaya hadir dalam majlis Tautan Kasih SMTAAC yang diadakan di Resort Bukit Bendera, di sini.

Lebih manis, majlis alumni yang dihadiri bekas pelajar kemasukan pertama 1974 yang kini berumur 56 tahun itu turut dihadiri enam bekas guru sekolah berkenaan.

Pengerusi Kelab Alumni SMTAAC, Abdul Jamil Abd Wahab, 56, berkata, kehadiran yang memberangsangkan daripada alumni amat bermakna dalam usaha mereka untuk menabur bakti kepada sekolah berkenaan.

“Kehadiran lebih 100 bekas pelajar dari pelbagai latar belakang menunjukkan majlis ini berjaya mencapai matlamat untuk mengumpulkan bekas-bekas pelajar bagi bersama-sama membantu sekolah sekali gus mengeratkan kembali silaturahim.

“Berdasarkan kepada kejayaan ini, kita akan mengadakan majlis yang sama pada tahun hadapan dengan menarik lebih ramai lagi bekas-bekas pelajar,” katanya.

Menurutnya, majlis alumni kali ketiga itu turut mendapat kerjasama pejabat pendidikan daerah dalam usaha memperhebatkan peranan alumni dalam memajukan bidang pendidikan.

Dalam pada itu katanya, antara aktiviti yang diadakan pada pertemuan itu adalah bagi membincangkan mengenai keperluan yang diperlukan sekolah berkenaan.