DUNGUN - Sebanyak RM10,000 telah berjaya dikumpulkan oleh Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar SPM 1982 menerusi tabung amal Ramadan yang dilancarkan bermula November 2016.

Sebanyak 80 tabung atau celeng buluh diagihkan kepada ahli alumni untuk dipenuhi dan pada majlis pecoh celeng yang diadakan bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, di sini, berjaya mengumpul dana disasarkan.

Setiausaha Alumni SMSO 82, Hanafir Jusoh berkata, dana yang dikumpulkan tersebut akan diserahkan kepada golongan kurang bernasib baik khususnya untuk menyambut kedatangan Ramadan.

“Ketika pertemuan akhir tahun lepas, tabung amal ini dilancarkan dan celeng-celeng buluh diagihkan kepada ahli. Menerusi tabung itu ahli-ahli berusaha untuk penuhkan dan mengumpulkan seberapa banyak dana.

“Alhamdulillah selepas tiga bulan dilancar diadakan majlis pecoh celeng dan dana terkumpul melepasi sasaran serta RM10,000 berjaya dikumpulkan,” katanya.

Hanafir berkata, sebanyak 20 peratus akan diberikan kepada pelajar miskin di SMK Sultan Omar.

“34 pelajar yang akan menerima inisiatif ini sudah dikenal pasti. Selebihnya kita berikan kepada fakir miskin di sekitar Dungun pada minggu pertama Ramadan.

“Kita juga berterima kasih kepada semua ahli alumni dan pihak-pihak yang sama-sama menjayakan program amal ini,” katanya.