Acara Boling Alumni Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah Klang (Star) gamat dengan kehadiran 16 selebriti dari Celebrity Sports Club.

Pengerusi Alumni Star, Dr Mohamad Rafie Kaslan berkata, program itu bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli.

"Kehadiran artis ini memeriahkan lagi suasana dan kami sangat seronok apabila setiap artis berkenaan menyertai setiap pasukan boling pada hari tu," katanya.

Menurut beliau,  seramai lebih 100 ahli alumni yang turut disertai ALumni UiTM dan ahli keluarga masing-masing hadir pada hari tersebut.

Turut Presiden Celebrity Sports Club iaitu Serina Redzuwan, Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia.

Hadir sama Farawahida, Ako Mustafa, Fauzi Nawawi, Lisdawati, Jaafar Onn, Adam Shahz, Rizal Ahmad, Cikgu Meera, Kapten Mohd, Bon, Hairee Kool, Afif AF dan Lan Zailan.

Acara bagi mengeratkan silaturahim ahli alumni itu ditaja oleh syarikat penerbitan, Jayy Production.

Menurut ketua pegawai Eksekutifnya, Juwita Abd Aziz, yang juga bekas pelajar sekolah tersebut berasa terpanggil untuk menyumbangkan sesuatu kepada alumni dan berkongsi kejayaannya dengan rakan sekolah.

"Sebenarnya, acara boling ini bukan satu-satunya program yang dianjurkan pada tahun ini malah ada beberapa perancangan lain.

"Mereka yang tidak dapat menyertai acara boling ini, masih ada lagi agenda lain yang bakal dirancang,” katanya.

Jelas Juwita lagi, ini adalah program pertama yang dijalankan oleh Jayy Production bersama Celebrity Sports Club dan kerjasama itu akan diteruskan pada masa akan datang.

Pada pertemuan itu juga, Juwita sempat bercerita mengenai perancangan syarikatnya yang akan mengambil dua orang lagi artis baharu untuk bernaung di bawah Jayy Production selain bakal menerbitkan drama.

Artis sulung syarikat itu ialah Cikgu Meera yang sudahpun hadir dengan single pertamanya berjudul 'Oh Sayangku'.

Program petang itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Datuk Saroni Judi.