REMBAU - Setelah 36 tahun terpisah, seramai 16 bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chengkau sesi 77/82 bertemu semula dalam program Reunion di Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Chengkau, di sini, kelmarin.

Wakilnya, Jamaliah Kadir berkata, bekas murid sepakat memilih perjumpaan pertama kali diadakan di sekolah bagi mengimbau kembali kenangan ketika bersekolah.

“Kemudahan teknologi hari ini menjadi pemudah cara kepada usaha kita untuk merancang pertemuan ini, sekali gus menjalinkan semula ikatan persahabatan setelah lama terpisah.

“Malah, kita turut berbesar hati apabila rakan yang sudah berhijrah ke Johor dan Shah Alam, Selangor turut sama meluangkan masa hadir,” katanya sempena program berkenaan, di sini, kelmarin.

Jamaliah berkata, walaupun terdapat empat bekas murid yang tidak dapat turut serta, pihaknya berharap program tersebut akan menjadi titik tolak kepada perancangan lebih banyak lagi program bermanfaat.