PORT DICKSON - Terpisah dalam tempoh 29 tahun bukan satu jangka masa singkat, namun itu semua tidak menjadi halangan bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Melaka Bukit Piatu untuk kekal bersilaturahim.

Wakil Penyelaras Program Reunion 5P1 SMT Melaka Tahun 87/88, Nor Diana Hamzah berkata, reunion kali ini adalah julung kali dianjurkan selepas masing-masing membawa haluan sendiri apabila tamat sekolah.

Menurutnya, reunion ini tetap berlangsung dengan meriah dan ia ditaja rakan-rakan yang bergelar usahawan.

“Walaupun tidak semua rakan sekelas dapat hadir, namun suasananya sudah sangat meriah apabila masing-masing mula membuka cerita zaman sekolah,” katanya.

Nor Diana berkata, penganjuran reunion ini dirancang dalam masa beberapa bulan dan ada rakan-rakan yang tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain.

“Seramai 15 orang daripada keseluruhan 40 pelajar kelas 5P1 SMT Melaka Tahun 87/88 hadir ke reunion ini.

“Hasil perjumpaan pertama ini, kami juga sedang merancang untuk mengadakan satu lagi majlis reunion yang mana dijangka ia lebih besar dan meriah.

“Tidak lain, program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim,” katanya.

Program Reunion 5P1 SMT Melaka Tahun 87/88 diadakan di sebuah inap desa di Tanjung Tuan dan antara pengisian program adalah bacaan Yasin serta tahlil untuk guru serta rakan-rakan yang sudah meninggal dunia.