SUNGAI BESAR - Majlis Hi-Tea Tautan Kasih 70 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bahagia berjaya mengumpulkan 30 kumpulan alumni sekolah itu bermula dari tahun 1953 hingga 2015.

Setiausaha Alumni SK Seri Bahagia, Jun Aiza Sayuti berkata, majlis itu merupakan kesinambungan pertemuan alumni sekolah itu pada Jamuan Hari Raya Aidil Adha tahun lalu.

“Program Tautan Kasih ini diharap akan memberikan impak positif dalam usaha membantu misi sekolah dalam pembangunan pendidikan menerusi peranan PIBG dan Alumni SK Seri Bahagia.

“Ini juga sebagai usaha memastikan kejayaan sekolah dapat dicapai dengan melahirkan modal insan yang berkualiti dan mengharumkan nama sekolah,” katanya.

Seramai 300 bekas murid SK Seri Bahagia berhimpun pada Majlis Hi-Tea Tautan Kasih sekolah itu, di sini.

Pada majlis itu juga, katanya, Alumni SK Seri Bahagia turut melancarkan Tabung Kutipan Persatuan Ibu Bapa dan Penjaga (PIBG) dan berjaya mengumpul sebanyak RM1, 068 sebagai dana permulaan untuk tujuan tersebut.