MARANG - Selepas meninggalkan alam persekolahan lebih 30 tahun, kira-kira 30 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marang mengadakan majlis perjumpaan di Hotel Seri Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri.

Penganjur majlis tersebut, Ruzenan Abu Bakar berkata, tujuan utama program perjumpaan semula itu diadakan untuk merapatkan kembali silaturahim dalam kalangan bekas pelajar SMK Marang yang telah lama terpisah.

“Pertemuan sempena Aidilfitri yang diilhamkan itu berjaya direalisasikan hasil kerjasama rakan-rakan yang bertungkus-lumus menjejaki seterusnya mengadakan perbincangan bersama menerusi pelbagai media termasuk WhatsApp.

“Walaupun lama terpisah tetapi kemesraan seakan tidak luntur apabila masing-masing rancak berbual. Kehadiran mereka mengeratkan semula persahabatan yang pernah terjalin di SMK Marang lebih 30 tahun lalu.

“Menerusi perjumpaan ini ahli juga kita dapat lebih mengenali antara satu sama lain dan berkongsi idea. Ia juga dapat mengekalkan ukhuwah sesama insan ada satu perkara yang dititikberatkan. Selari dengan saranan agama.

“Malah dua bekas guru turut hadir pada majlis perjumpaan semula ini dan guru terbabit diberi layanan istimewa sebagai menghargai jasa besar mendidik kami sehingga menjadi insan berguna,” katanya.

Pada majlis bermula jam 3 hingga 5 petang itu, pelbagai hidangan disajikan kepada hadirin.