KUALA PILAH -Majlis pertemuan semula rakan sekolah lama kini dilihat menjadi trend baharu untuk menghimpunkan rakan sekolah atau kenalan dalam sesebuah organisasi.

Tidak ketinggalan mengikuti trend tersebut, bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pilah turut menganjurkan majlis perjumpaan semula bertempat di Hutan Rekreasi Ulu Bendul, bagi menghimpun dan mempertemukan rakan-rakan yang sudah lama terpisah.

Penganjur majlis, Amrul Kamarul Arifin berkata, majlis itu diadakan setelah masing-masing terpisah selama 35 tahun, selain terikat dengan komitmen kehidupan, kesibukan dan kerjaya masing-masing.

Menurutnya, ia diserikan dengan kehadiran lebih 40 individu termasuk ahli keluarga bekas murid yang terlibat.

“Kita adakan pertemuan semula ini demi menghargai semangat sebuah persahabatan. Pertemuan julung kali dianjurkan turut menyatukan bekas SK Kuala Pilah pada tahun 1977 sehingga 1982.

“Tercetusnya idea ini kerana merindukan zaman kanak-kanak ketika memasuki sekolah rendah. Akhirnya lahirlah idea untuk bertemu rakan-rakan satu sekolah dan mula menjejaki mereka menerusi media sosial, Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Selepas itu kami adakan beberapa pertemuan untuk berbincang bagi adakan perjumpaan semula ini, sehinggalah membolehkan program ini dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Amrul Kamarul berkata, selaku penganjur pihaknya terharu berikutan majlis turut mendapat sambutan menggalakkan daripada rakan yang berada di luar Negeri

Sembilan, khususnya yang datang dari Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Selangor.

“Pada pertemuan kali pertama, pastinya masih ramai tidak dapat sertainya. Justeru, saya harap sekiranya ada bekas murid SK Kuala Pilah yang tidak maklum tentang pertemuan ini, boleh hubungi rakan saya, Taib Mohd Zain, 019-6048169.

“Kita mahukan hubungan persahabatan yang terpisah dapat disatukan semula. Kita rancang adakan pertemuan lagi pada Aidilfitri kelak," katanya.